PRN Sabah : PKR mahu lebih kerusi berbanding yang lain

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengakui peratusan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijangka diperuntukkan kepada parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebagai ‘sangat kecil’.

Bagaimanapun, katanya, masih ada tempoh seminggu lagi sebelum hari penamaan calon pada 12 September ini untuk memuktamadkan semua perkara berkaitan PRN berkenaan, termasuk senarai calon.

Beliau berkata, perkara terbabit dibincangkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada pertemuan tertutup pagi ini.

“Pertemuan tertutup itu dihadiri Anwar, Mohd Shafie dan saya sendiri. Tujuannya adalah untuk melakukan ‘fine tuning’ bagi memuktamadkan semua perkara berkaitan PRN.

“Mohd Shafie juga menyampaikan beberapa perkara berkaitan persiapan di peringkat negeri secara keseluruhan. PKR mengambil peluang ini untuk mendengar kedudukan terkini dan kita masih ada seminggu untuk muktamadkan semuanya.

“Dalam soal pengagihan kerusi, kita perlu ambil kira kawasan yang ada pembabitan UPKO (Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu), DAP dan AMANAH (Parti Amanah Negara). Itu lumrah dalam mana-mana proses rundingan kerusi.

“Namun, peratus (kerusi) untuk PKR sangat kecil,” katanya kepada pemberita selepas program Jelajah Penerangan Negeri Sabah di sini hari ini yang turut disertai Anwar; Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew.

Saifuddin berpendapat, PKR harus diberi peluang meletakkan lebih ramai calon berikutan terdapat penambahan 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah daripada 60 kerusi sebelum ini.

“Dengan kekuatan yang PKR ada, kita rasa amat munasabah untuk (pertambahan) kerusi ditandingi PKR. Dengan pertambahan kerusi, ada munasabah peluang untuk PKR dibuka juga.

“Kekuatan PKR adalah dari segi jumlah keanggotaan di mana Sabah negeri kedua tertinggi selepas Selangor dengan 173,907 keahlian. Antara kawasan dengan keanggotaan tertinggi dalam PKR adalah Kudat, Tawau, Pensiangan, Silam, Kudat dan Sepanggar.

“Jumlah itu menggambarkan penerimaan masyarakat terhadap parti ini,” katanya.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/politik/2020/09/728418/prn-sabah-pkr-harap-dapat-lebih-banyak-kerusi

COMMENTS

Wordpress (0)