PRN Sabah : PKR mungkin hanya diberi 12 kerusi

Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkemungkinan hanya memperoleh tambahan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah nanti.

Penganalisis politik, Dr Jeniri Amir berkata, jumlah tersebut mengambil kira prestasi tidak memuaskan PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di negeri itu.Menurutnya, PKR hanya menang dua kerusi DUN berbanding sembilan kerusi yang ditandingi parti itu.

“Pada PRU14, sebanyak 60 kerusi dipertandingkan dan dalam PRN Sabah kali ini, ada 13 kerusi DUN tambahan.

“Saya jangka PKR hanya diberikan tambahan tiga kerusi kerana ia perlu diagihkan kepada parti dalam gabungan parti kerajaan negeri.

“Selain itu, melihat kepada prestasi PKR yang tidak bagus pada PRU14 dan selepas perpecahan dalaman, PKR sekarang boleh dikatakan semakin lemah,” ujarnya kepada Sinar Harian semalam.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi daripada Universiti Teknologi Mara, Mujibu Abd Muis berkata, naratif politik di Sabah berbeza dengan aspek lokaliti, demografi dan isu setempat.

Menurutnya, PKR tidak akan mampu memenangi PRN Sabah tanpa pakatan strategik dengan parti tempatan lain termasuk DAP.

“Pengalaman lalu, PKR dan DAP sudah cukup untuk memberikan isyarat yang parti itu belum cukup kuat untuk bertanding bersendirian.

“Bertanding menggunakan logo masing-masing ada kelebihan kerana PKR dan DAP sudah dikenali rakyat Sabah berbanding guna logo baharu, disebabkan PH tidak wujud di Sabah,” katanya.

Jelasnya, pengumuman calon Warisan pada 10 September ini mungkin lebih gah kerana parti itu dijangka meletakkan ramai muka baharu berwibawa.

Berita penuh: https://www.sinarharian.com.my/article/100000/BERITA/Politik/PKR-mungkin-hanya-diberi-3-kerusi-tambahan