PRN Sabah : PN masih berebut pembahagian 73 kerusi

Perikatan Nasional (PN) belum memuktamad agihan kerusi dalam kalangan parti, walaupun beberapa pemimpin sudah memberi kenyataan media.

Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Johnny Mositun, berkata jumlah sebenar agihan kerusi akan diumumkan esok atau lusa kerana masih ada rundingan dalam kalangan parti PN, hari ini.

Beliau berkata, angka yang dinyatakan dalam laporan media ialah anggaran dan mungkin berubah, selepas rundingan di antara parti selesai hari ini atau esok.

“Angka itu hanya spekulasi kerana rundingan belum lagi selesai. Kita mahu keputusan menang-menang yang diterima semua parti.

“Saya difahamkan hari ini pun ada perbincangan dibuat dan selepas semua selesai, barulah pengumuman dibuat. Tapi saya tak tahu bila,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai jumlah agihan kerusi yang bakal diperolehi PBS selepas beberapa parti dilaporkan sudah diberikan agihan masing-masing.

Sebelum ini, media melaporkan Barisan Nasional (BN) mahu bertanding di 30 kerusi, disusuli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebanyak 20 kerusi.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan turut mengumumkan parti itu akan bertanding di 15 kerusi, selain masih berunding untuk mendapatkan tiga lagi kerusi.

Berdasarkan perkembangan itu, jumlah kerusi yang sudah diagih setakat ini ialah 65 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertanding.

Johnny berkata, berpandukan perkiraan itu, hanya ada lapan kerusi lagi yang belum dinyatakan untuk diberikan kepada parti, namun secara tidak langsung, ia merujuk kepada dua lagi parti yang bekerjasama dengan PN iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

“Kalau lapan kerusi diperuntuk kepada PBS dan SAPP, saya rasa itu tidak tepat kerana sebelum ini PBS sendiri sudah menjelaskan pendirian kita untuk bertanding di 30 kerusi.

“Jadi, paling kurangpun kerusi yang kita dapat selepas mengambil kira rundingan dengan parti lain ialah 20 kerusi. Sebab kita mahu keputusan yang menang-menang,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, PBS memenangi enam kerusi dan kalah di enam kerusi DUN.

Berita penuh: https://www.bharian.com.my/berita/politik/2020/09/728690/prn-sabah-agihan-73-kerusi-pn-belum-muktamad

COMMENTS

Wordpress (0)