PRU mengejut hanya tambah buruk keadaan negara

Seorang pakar ekonomi politik memberi peringatan mengenai pilihan raya umum mengejut kerana pemulihan ekonomi negara tidak boleh terjejas akibat ketidakstabilan politik berterusan.

Firdausi Suffian dari UiTM Sabah berkata, Covid-19 dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bagi membendung penularan pandemik itu menyebabkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) menguncup sebanyak 17.1% pada suku ke-2.

Katanya, kos mengadakan pilihan raya umum ketika penularan pandemik itu dianggarkan bernilai RM1 bilion.

“Kita perlu fokus pada ekonomi, dengan situasi politik berubah-ubah, malah dengan adanya pilihan raya, tiada jaminan mana-mana parti akan mendapat mandat kuat.”
Firdausi Suffian

Dalam laporan FMT semalam, bekas pengarang urusan Rangkaian Televisyen Kumpulan Media Prima Berhad, Ashraf Abdullah berkata, PRU mengejut akan menghasilkan sebuah kerajaan yang mempunyai mandat kuat, ketika pentadbiran semasa terlalu lemah untuk bertahan sehingga 2023.

Firdausi bagaimanapun berkata, walaupun kerajaan Perikatan Nasional memiliki majoriti tipis di Dewan Rakyat, prestasinya dalam menangani krisis Covid-19 mendapat pujian.

“Ia tidak sempurna, tetapi langkah yang diambil seperti inisiatif Prihatin dan Penjana, termasuk moratorium pinjaman membantu memastikan rakyat mempunyai makanan dan menyelamatkan banyak pekerjaan,” katanya sambil menambah ia berlaku ketika PPBM belum menyertai Muafakat Nasional, pakatan politik antara Umno dan PAS.

“Ketika ini, kita perlu biarkan PN meneruskan pentadbiran dan pembangkang boleh menunjukkan keprihatinan mereka terhadap rakyat dengan menyokong apa yang dilakukan kerajaan demi kepentingan rakyat. Ini bukan masanya untuk berpolitik.”

Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata, mengadakan pilihan raya mungkin tidak akan mengubah keadaan politik kerana beliau percaya tiada parti yang akan mendapat majoriti jelas seperti ditunjukkan beberapa tinjauan baru-baru ini.

“Anda mungkin mempunyai Parlimen tergantung. Kebaikan mempunyai kerajaan dengan majoriti kecil ialah mereka perlu bekerja habis-habisan dan berusaha menyelamatkan ekonomi.”

Walaupun kerajaan memiliki mandat lemah, katanya, ia masih boleh mentadbir negara jika agenda ekonominya disokong semua pihak.

Tetapi, Carmelo Ferlito, ketua Pusat Pendidikan Pasaran Malaysia, menyokong PRU mengejut kerana negara memerlukan sebuah kerajaan sah dan mempunyai mandat kuat.

“Kita memerlukan langkah berani untuk membuka semula sempadan, pembaharuan cukai, pengambilan pekerja, pembaharuan GLC dan sebagainya.

“Tiada kerajaan lemah dengan kekurangan majoriti mencukupi di Parlimen yang berani mengambil langkah tersebut apabila mengetahui pilihan raya tidak lama lagi,” katanya sambil menambah PRU mengejut adalah perlu kerana kerajaan dengan majoriti tipis tidak mampu bertahan lama.

Berita penuh: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/09/07/tiada-jaminan-dapat-mandat-kuat-jika-pru-diadakan-mengejut-kata-penganalisis/

COMMENTS

Wordpress (0)