PRU15 : Hadi nasihatkan Umno dan Bersatu agar jangan khianat

Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, dalam sesi wawancara sebuah akhbar tempatan memberi nasihat kepada sekutu-sekutu Perikatan Nasional (PN), apa pun keputusan PRU-15 nanti, tidak kira Umno atau Pas atau Bersatu yang memiliki lebih banyak kerusi; “jangan khianat”.

Sebelumnya beliau dilaporkan berkata, Pas tidak dapat berpisah dengan Umno dan juga Bersatu: “Kita berjaya menyatukan ketiga-tiga parti. Kita tak boleh berpisah dengan Umno, tak boleh berpisah dengan Bersatu.”

“Kalau Pas dapat kerusi lebih besar daripada Umno, atau Umno dapat lebih daripada Pas, masing-masing jangan khianat. Bersatu pun tak boleh ditinggalkan. Yang penting kita setia kepada perjanjian, kita ada piagam,” petikan kata-kata Hadi daripada interbiu itu disiarkan melalui media sosial.

Kekhuatiran gabungan rapuh parti-parti Melayu ini, termasuk kemungkinan berdepan “langkah pengkhianatan” mudah difahami. Lazimnya golongan yang terlibat dengan komplot jahat atau “aksi khianat” sentiasa diburu mimpi ngeri.

Masing-masing saling syak wasangka terhadap rakan-rakan yang pernah mengkhianati gabungan sebelum ini. Terasa mereka akan ditikam daripada belakang jika ada kesempatan berbuat demikian.

Siapa sangka Muhyiddin Yassin yang dilaporkan uzur boleh mengkhianati pengasas Bersatu, Dr Mahathir Mohamad? Siapa pernah menduga Azmin Ali yang digambarkan sebagai anak emas Mahathir nekad menggerakkan konspirasi menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan? Namun, atas kepentingan peribadi segala perjanjian dan ikrar taat setia dibakul-sampahkan.

Beberapa kali pemimpin Pas menzahirkan sokongan terbuka kepada kepemimpinan Mahathir dan sering menziarahinya sehingga timbul cadangan untuk membawa usul percaya kepada perdana menteri di Parlimen ketika itu.

Umno pula pernah menegaskan dalam perhimpunan agungnya, tidak akan berusaha menubuhkan kerajaan pintu belakang, sebaliknya menunggu PRU-15.

Pakatan Harapan (PH) yang diikat dengan perjanjian bertulis dan dibentuk oleh struktur rasmi pun boleh dilanggar, apatah lagi PN yang belum didaftar tetapi sudah mengalami konflik dalaman serius?

Pemimpin kanan Umno khususnya, siang-siang lagi menolak PN pimpinan Muhyiddin-Azmin tetapi tidak pula bersedia menarik diri daripada kerajaan. Jawatan menteri, timbalan menteri, pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC), ketua agensi kerajaan dan habuan-habuan lain didakap erat tetapi kecaman terhadap PN terus dihamburkan.

Dijangkakan situasi menjadi lebih rumit apabila proses agihan kerusi ketiga-tiga parti Melayu ini bermula nanti. Umno-Bersatu-Pas akan membuat tuntutan bertindih di konstituensi yang sama, khusususnya kerusi-kerusi majoriti Melayu.

Keadaan menjadi lebih tajam pada kerusi yang asalnya (PRU-14) dimenangi calon BN tetapi melompat menyertai Bersatu. Tentu sahaja Umno akan berkeras mempertahankan kerusi itu. Sedangkan Bersatu yang terus mahu mempertahankan jawatan perdana menteri pasca PRU-15 hanya mempunyai enam kerusi Parlimen sahaja.

Dan jangan lupa, Muafakat Nasional gabungan Umno-Pas yang kelihatan seperti lebih serasi, sebenarnya menyimpan potensi konflik yang lebih parah. Mungkin ahli-ahli Pas lebih “walak” dan patuh dengan keputusan pemimpin mereka, namun gelodak di peringkat akar umbi umpama “api dalam sekam”.

Mereka juga mula menyedari pembohongan pemimpin Pas apabila terdedah hubungan sulit dengan Umno lama sebelum PRU-14. Masing-masing ghairah mendakwa “cinta terlarang” itu dibina sejak 2008, atau 2011 atau 2015, menurut versi berbeda.

Yang pasti ketika itu Umno masih menerajui kerajaan dan dilumuri pelbagai skandal mega kewangan dan salahguna kuasa.

Mungkin proses rundingan kerusi di Kelantan tidak serumit Terengganu dan Kedah. Kelantan boleh dianggap “negeri Pas” sejak kerajaan Umno dikalahkan dengan teruk sekali pada PRU 1990. Umno Kelantan tidak dapat bangkit selepas kekalahan memalukan itu.

Berbeda dengan Terengganu, Pas melalui Barisan Alternatif menang hanya sepenggal pada 1999, sebelum kembali merampas pentadbiran negeri pada 2018. Itu pun dipengaruhi kuat sentimen menolak Najib Razak.

Luahan terbuka bekas menteri besar, Ahmad Said, termasuk dalam sidang Dun Terengganu baru-baru ini menggambarkan “banyak isu bermasalah” di antara Pas dan Umno.

Di Kedah juga serupa, selepas Pas melalui Pakatan Rakyat menang sepenggal pada 2008, untuk tempoh panjang yang lain, Jelapang Padi adalah “negeri Umno”. Mukhriz Mahathir ditumbangkan tahun ini bukan melalui pilihan raya tetapi dengan aksi pengkhianatan.

Ramai bertanya, apa sebenarnya yang mahu disampaikan oleh Hadi dalam wawancara tentang “jangan khianat” itu?

Pihak yang pernah khianat dan bersubahat dengan pengkhianatan cenderung untuk mengulanginya semula apabila kesempatan terbuka.

Tiada pertimbangan moral atau janji setia atau piagam yang dipersetujui. Malah, khianat kali ini bukan hanya berpotensi berlaku selepas keputusan PRU-15, malah diduga lebih awal, pada hari penamaan calon lagi.

Dan Hadi patut memberi nasihat kepada dirinya sendiri, disebabkan Pas juga ada rekod buruk melanggar kesepakatan dengan sekutunya dalam pilihan raya!

Berita penuh: https://malaysiadateline.com/perikatan-nasional-akan-dikhianati-sebelum-pru-15-lagi/