Aksi lagak ngeri oleh Sarjan Saidatul Husna Kamarudin antara yang menjadi tumpuan pada sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Putrajaya, hari ini.
Menurut laporan BERNAMA, wanita berusia 35 tahun itu berasa puas dan bangga selepas motosikal ditunggang berjaya melakukan lompatan merentasi 66 motosikal Royal Enfield.
‘Birthday girl’ buat aksi lagak ngeri
Malah, dia yang menyambut hari lahir hari ini sudah tentu berbangga apabila kali pertama membuat aksi itu di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
“Aura lompatan hari ini cukup hebat dan lain dari lompatan-lompatan saya sebelum ini. Buat lompatan merentasi 66 motosikal Royal Enfield di hadapan Agong dan Permaisuri serta disaksikan lautan manusia di kiri dan kanan landasan cukup mendebarkan.
“Seperti kebiasaan sebelum buat lompatan, saya kosongkan fikiran dan banyakkan berdoa berharap semuanya dilancarkan. Keluarga yang hadir menyaksikan saya di sini turut menyumbang selesaikan amanah yang besar ini, katanya.
Sebelum itu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dilihat teruja menyaksikan persembahan wanita tersebut dengan memberikan tepuk sanjungan selain tepukan gemuruh daripada ribuan pengunjung lain.
Difahamkan, Saidatul Husna mempunyai pengalaman selama 13 tahun menyertai pasukan Akrobatik Motosikal Tentera Darat Army Red Warrior.
Bercerita lanjut, sesi raptai penuh Selasa lalu sedikit sebanyak mencemaskan dirinya apabila motosikal jenis Scrambler Kawasaki 250cc itu berdepan masalah teknikal.
Namun, pemeriksaan lanjut pasukan mekanik akhirnya membolehkan lompatan paling jauh dalam rekod peribadi dan pasukan Army Red Warrior berjaya dilakukan hari ini.
“Alhamdulillah berkat kerjasama rakan sepasukan yang umpama satu keluarga ini, semuanya berjalan lancar. Kami saling menyokong antara satu sama lain…
“…untuk jayakan setiap misi lebih-lebih lagi misi besar untuk negara,” ujarnya.
Terdahulu, dia pernah mencipta rekod Lompatan Motosikal Terpanjang (Wanita) yang dicatatkan di Malaysia Books of Record (MBOR) pada persembahan TATU Tentera Darat (TDM) bersempena Hari Tentera Darat ke-90 di Port Dickson, Negeri Sembilan pada Mac lalu.
Baca Selanjutnya :