Rahsia nak dapat ayam rangup sebijik macam kedai mamak popular

AYAM goreng merupakan antara menu yang paling popular dalam kalangan kanak-kanak.

Jika anda tiada idea untuk memasak di bulan Ramadan, apa kata cuba menu ayam goreng berempah yang rangup ini.

Menurut perkongsian Murni Rahmat, dia merupakan peniaga nasi ayam berempah dan menu itu dipelajarinya menerusi internet sahaja.

Rahsia nak dapat ayam rangup sebijik macam kedai mamak popular

“Apabila bulan puasa saya berniaga nasi ayam berempah. Ada yang tanya macam mana nak jadikan serat-serat tu rangup dan tak bergumpal?

“Jom saya share resipi ayam goreng berempah yang rangup ni. Tiada masalah pun saya nak kongsi sebab ilmu ni pun saya dapat percuma, belajar dengan ‘cikgu’ Google dan pengalaman je,” ujarnya.

Resepi yang dikongsi ini adalah untuk setengah ekor ayam

Bahan kisar

1. Bawang besar sebiji

2. Bawang putih tiga ulas

3. Halia, lengkuas dua inci

4. Cili kering/serbuk cili (ikut tahap kepedasan masing-masing)

Ayam goreng berempah sesuai disajikan ketika berbuka puasa.

5. Serai tiga batang

6. Ketumbar satu sudu

7. Jintan manis setengah sudu

8. Buah keras tiga biji (tak wajib)

Cara penyediaan

Kisar semua bahan itu dengan dua biji telur dan air asam jawa yang pekat. Kemudian perap ayam dengan bahan yang dikisar tadi.

Selain itu, jangan lupa masukkan serbuk kari sesudu penuh, garam, daun kari, secubit gula, sesudu tepung beras dan sesudu tepung jagung dalam bahan perapan.

Boleh juga tambahkan sedikit serbuk penambah perasa dan perap selama 30 minit atau semalaman.

Cara memasak

Goreng dengan api sederhana, tutup periuk ketika menggoreng. Dua atau tiga minit sebelum diangkat, anda perlu buka penutup periuk.

Kaedah ini perlu dibuat bagi mendapatkan tekstur ayam yang rangup di luar dan lembut di dalam.

Ambil lebihan serdak yang tinggal dan goreng dengan api sederhana. Kacau semasa menggoreng supaya ia tak bergumpal atau berketul.

Bila dah garing, angkat, tos minyak dan tabur di atas ayam.

Baca juga: Ibu buang bayi dalam tong sampah sebab tak mampu nak sara