“Rahsia..” – Tun Mahathir

Selepas hampir dua jam memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, Tun Dr Mahathir Mohamad enggan mengulas mengenai prosiding dihadirinya.

Sebaliknya, bekas Perdana Menteri itu memaklumkan, beliau akan mengadakan sidang media di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana pada jam 3 petang ini.

Ketika ditemui sebaik selesai prosiding secara tertutup itu, Dr Mahathir berkata, beliau tidak mahu mengulas berhubung prosiding terbabit kerana ia dibuat secara ‘rahsia’.

“Ini adalah meeting (prosiding) tertutup, saya tak boleh kata apa, tetapi saya akan berjumpa media berkenaan dengan pemikiran (saya) yang bukan rahsia.

“Apa yang berlaku di sini (prosiding) adalah rahsia, saya tidak akan menyentuh mengenainya,” katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir tiba di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, pada jam 10.46 pagi bagi memberi keterangan kepada RCI terbabit.

Beliau hadir ditemani peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali bersama beberapa penyokong termasuk bekas Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya.

Dr Mahathir sebelum ini mengesahkan beliau disapina untuk memberi keterangan kepada RCI berkaitan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pejabat peguamnya, Dr Mahathir berkata, beliau perlu hadir hari ini.

Katanya, beliau dan peguamnya sudah menjangkakan akan dipanggil untuk menghadiri prosiding itu kerana menjadi pihak yang berkait dengan perkara yang dibincangkan RCI berkenaan.

Sebelum ini, Dr Mahathir mendesak supaya prosiding RCI terbabit diadakan secara terbuka.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi perintah supaya prosiding RCI terbabit, dijalankan secara terbuka.

Hakim Datuk Amarjeet Singh juga menolak permohonan sama yang dikemukakan Dr Mahathir bagi perintah melarang Tun Md Raus Sharif daripada bertindak sebagai Pengerusi RCI dan menghalang Datuk Dr Baljit Singh Sidhu dan Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir daripada menjadi ahli RCI.

Baca : Selamba je lelaki ni hulur tangan dalam mulut buaya, sekali ini yang jadi