Dapatan terbaru bank dunia mengenai sistem pendidikan amat membimbangkan sehingga ada yang mengeluarkan pandangan bagi menekan pihak tertentu berkenaan dengan masalah tersebut.
Seorang bekas menteri persekutuan bimbang dengan laporan terbaharu Bank Dunia mengenai sistem pendidikan Malaysia yang menunjukkan masih ketinggalan berbanding negara serantau.
Bank Dunia dalam laporannya bertajuk ‘Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills’ baru-baru ini mendedahkan hanya 58% pelajar di Malaysia mahir membaca pada usia darjah 5.
Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Rafidah Aziz, berkata kerajaan perlu segera merombak kandungan pengajaran serta menyemak struktur serta dasar dalam sektor pendidikan, agar jurang yang ada dapat dikurangkan.
“Perlu diadakan reformasi segera dalam bidang-bidang…dasar pendidikan, struktur sektor pendidikan, sistem pendidikan, kandungan…penyampaian kandungan pendidikan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, ia termasuk melahirkan guru dan tenaga pengajar terlatih, serta mengadakan libat urus dengan pakar dalam bidang pedagogi selaras kehendak pasaran.
“Mereka mesti dilengkapkan dengan pendidikan, latihan, serta kecekapan yang diperlukan oleh persekitaran operasi ekonomi dan sosioekonomi.
“Kegagalan memperbetulkan keadaan ini akan menyebabkan Malaysia jauh ketinggalan dalam aspek penting seperti daya saing serta pembangunan sosioekonomi,” katanya.
Dalam laporannya, Bank Dunia menyatakan Malaysia membelanjakan 3.2% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dalam sektor pendidikan, namun masih ketinggalan jauh.
Laporan itu menyerlahkan ketidakcekapan membimbangkan dengan pelajar Malaysia menghabiskan purata 12.5 tahun di sekolah tetapi pembelajaran bersamaan dengan hanya 8.9 tahun.
Sebaliknya, pelajar Vietnam yang puratanya turut menghabiskan tempoh sama di sekolah seperti Malaysia mencapai 10.7 tahun kualiti pembelajaran.
Laporan itu mengenal pasti beberapa punca antaranya akses terhad kepada pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti, kesediaan guru dan kekurangan sistem penjejakan prestasi yang berkesan.
Bank Dunia mencadangkan penyelesaian untuk menangani kebimbangan itu termasuk memperluaskan akses dan kualiti pendidikan prasekolah, melaksanakan penilaian pembelajaran dan menyediakan pembangunan profesional berterusan untuk guru berdasarkan amalan terbaik antarabangsa.