Bilangan individu yang hilang pekerjaan meningkat dua kali ganda setiap bulan sejak penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada Mac bagi membendung penularan wabak Covid-19.
Berdasarkan jawapan bertulis di Parlimen oleh Kementerian Sumber Manusia, seramai 1,791 orang hilang kerja pada Mac, dan angka ini meningkat lebih dua kali ganda kepada 4,127 orang pada April.
Angka itu meningkat lagi dua kali ganda pada Mei apabila 7,195 orang hilang pekerjaaan, dan meningkat lagi dua kali ganda pada Jun dengan 19,352 hilang pekerjaan.
Jawapan bertulis itu bagi menjawab soalan M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) yang bertanya Menteri Sumber Manusia M Saravanan mengenai anggaran bilangan pekerja yang hilang pekerjaan akibat wabak Covid-19 dan strategi kerajaan bagi menangani pengangguran.
Kementerian itu berkata, setakat ini, seramai 36,196 orang di bawah 1,377 majikan telah hilang pekerjaan mereka.
“Pemberhentian tetap (permanent retrenchment) melibatkan seramai 28,779 orang pekerja manakala seramai 7,417 orang pemberhentian secara pemberhentian sukarela (VSS),” katanya.
Tambah kementerian, pemberhentian pekerja adalah di bawah prerogatif majikan, tetapi mereka masih perlu mengikut garis panduan disediakan kerajaan.
Antaranya, pemberhentian kerja sebagai langkah akhir selepas majikan membuat pengurangan gaji, menyekat pengambilan pekerja baru, mengehadkan kerja lebih masa, mengurangkan waktu kerja, atau melakukan pemberhentian kerja sementara.
Berita Penuh : https://www.malaysiakini.com/news/535397