Menurut kepercayaan beberapa kaum atau etnik, penggunaan nombor tertentu dikatakan boleh membawa tuah atau mengundang nasib malang. Oleh itu, disarankan agar angka-angka tersebut dielakkan dalam kehidupan seharian dan digantikan dengan abjad atau digit yang bersesuaian.
Melalui satu hantaran di laman Facebook, seorang lelaki berkongsi masalah yang timbul akibat kepercayaan sedemikian, terutamanya berkaitan dengan angka 4 yang digantikan kepada 3A. Dia menceritakan tentang kebingungan kanak-kanak yang sedang mempelajari turutan nombor apabila melihat nombor-nombor yang tidak biasa seperti 23A pada lif.
“Pernah saya masuk lif, ada beberapa adik sekolah rendah, mereka duduk bercakap sesama mereka, mana tingkat 24? Tingkat 23 dah ada, lepas tu terus 23A, mana 24 ni?” ujarnya.
Menurutnya, keadaan ini bukan sahaja mengelirukan kanak-kanak, tetapi juga mempersulitkan golongan warga emas yang mungkin tidak memahami trend turutan nombor baru ini.
“Kesian pakcik dan makcik kampung yang datang ke bandar. Nak tekan lif pun boleh terkeliru. Tapi dalam isu ni, budak-budak yang paling terkesan. Bayangkan, di tadika dan pra-sekolah cikgu ajar 4, balik rumah jadi 3A,” katanya.
Dia turut menyatakan bahawa keadaan ini juga akan menyusahkan orang dewasa dan ibu bapa untuk memberikan penjelasan kepada kanak-kanak mengenai perbezaan dalam turutan nombor.
Menjengah ke ruangan komen, warga maya berpendapat adalah tidak wajar untuk mencampuri kepercayaan adat dengan urusan yang berkaitan dengan kemudahan awam. Beberapa daripada mereka berkongsi pengalaman yang serupa di kediaman masing-masing.
“Tak salah nak mempercayai nasib malang pada nombor 4, tapi jangan la sampai nombor aras bangunan pun nak dikacaunya, berpada-pada. Buat macam ni dah menyusahkan ramai orang.
“Tak wajar begini, bayangkan jika dibiarkan melarat, sampai satu tahap nak tulis tarikh pun akan kelihatan seperti ini, 21/1/2023A. Kalau sesama kawan, ahli keluarga dan saudara nak percaya boleh, tiada masalah.
“Jangan sampai melibatkan hal-hal masyarakat,” kata beberapa warga maya memberikan pandangan.