Pengumuman kenaikan gaji kakitangan awam sebanyak 15 peratus adalah sesuatu yang patut disyukuri.
Namun terdapat segelintir masyarakat dalam negara ini yang menyendir bahawa kenaikan gaji ini adalah disebabkan langkah politik bagi membeli pengundi kakitangan awam.
Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan berita gembira bahawa penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus yang merupakan kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara, mulai 1 Disember depan.
Perdana Menteri memaklumkan sebelum ini jumlah paling tinggi kenaikan gaji penjawat awam adalah pada kadar 13 peratus, namun Kerajaan Madani akan memastikan kadar kenaikan kali ini lebih tinggi daripada itu.
“Sejarah kenaikan paling tinggi sebelum ini adalah 13 peratus dan tahun ini, saya akan mengumumkan kenaikan lebih tinggi daripada 13 peratus.
“Maka, kita akan melaksanakan kenaikan (gaji penjawat awam) mulai 1 Disember tahun ini… sebab saya sudah berjanji,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 bertema ‘Pekerja Kesuma Bangsa’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, serta Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Anwar berkata, pelarasan gaji penjawat awam itu akan membabitkan peruntukan mencecah lebih RM10 bilion berikutan jumlah kenaikan yang besar dan terbaik dalam sejarah negara.
Beliau menjelaskan dengan pelarasan itu nanti, pendapatan minimum penjawat awam merangkumi gaji dan elaun tetap, perlu melebihi RM2,000 sebulan.
“Saya mengaku jumlah pendapatan menyeluruh paling minimum (untuk penjawat awam) yang diterima sebelum ini, iaitu RM1,765, adalah tidak munasabah. Saya setuju jumlah diterima sebelum ini tidak munasabah.
“Oleh itu pada tahun ini, melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), kita menggunakan kriteria dan ukuran baharu iaitu pendapatan menyeluruh termasuk gaji dan elaun tetap, mesti lebih RM2,000,” katanya.
Anwar bagaimanapun menegaskan, mana-mana penjawat awam yang tidak mempamerkan prestasi baik, pemalas dan sering lewat datang kerja, tidak layak menerima kenaikan itu.
“Kalau rekod pekerjaannya tidak membanggakan, malas, sering lambat dan tidak memberi tumpuan yang baik, tidak layak diberi ganjaran seperti yang dijanjikan kerajaan.
“Ini tanggungjawab kita bersama, baik persatuan atau rakan di jabatan, untuk memastikan dua tiga orang yang lembap ini biar dia kekal di jawatan (sedia ada) selama-lamanya,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Kerajaan Sabah dan Sarawak bersetuju melakukan pindaan terhadap Ordinan Buruh Sabah (Ordinan Cap 67) dan Sarawak (Ordinan Bab 76) untuk diselaraskan dengan Akta Kerja 1955 yang terpakai di Semenanjung Malaysia.
Beliau memaklumkan, Rang Undang-Undang (RUU) Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024 dan RUU Ordinan Buruh Sarawak dijadual dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang.
“Jadi, akan nampak dari segi kepentingan pekerja… di Semenanjung, Sabah dan Sarawak (berada) dalam satu garisan yang sama.
“Ini termasuk umpamanya dari segi cuti bersalin, cuti paterniti, peruntukan aduan diskriminasi, perlindungan daripada gangguan seksual dan peruntukan mengenai aduan,” katanya.
Baca juga : Rafizi bodohkan Sanusi