Majlis Olimpik Malaysia hari ini mendedahkan busana rasmi yang akan digayakan oleh atlet Malaysia sempena acara pembukaan Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Dinamakan sebagai The Malaya, busana yang sangat anggun dan elegan itu mendapat sentuhan daripada pereka fesyen terkemuka tanah air, Rizman Ruzaini.
Menerusi video yang dikongsikan di Instagram, The Malaya merupakan gabungan baju kurung dan baju melayu teluk belanga bercorak songket yang diinspirasikan daripada warisan asli Malaysia.
Busana ini merupakan dedikasi bagi beberapa perwira negara
“The Malaya adalah cetusan sangat istimewa yang lahir pada lubuk hati kami sebagai pereka tempatan.
“Kami sentiasa mendukung nama Malaysia dalam perjalanan memperjuangkan rekaan fesyen yang merentasi sempadan negara.
“Baju teluk belanga dipilih sebagai tanda junjungan kasih kami buat Yang di-Pertuan Agong Sultan Sultan Ibrahim yang berasal dari Johor.
“Koleksi ini juga adalah satu dedikasi dan aspirasi Rizman Ruzaini buat perwira negara seperti Datuk Maharaja Lela, Dol Said, Yamtuan Antah, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Tuanku Abdul Rahman,” jelas Rizman.
Songket dijadikan motif utama dalam busana rasmi Sukan Olimpik Paris
Menurut Rizman lagi, rekaan dalam rona zaitun dengan motif keemasan itu memberi aura klasik dan menjadi simbolik perjuangan atlet untuk meraih kemenangan di pentas Olimpik.
Malah, rekaan ini juga turut menjadikan songket sebagai motif utama.
Selain teluk belanga yang akan dipakai oleh atlet lelaki, wirawati negara pula akan menggayakan baju kurung yang dilengkapkan dengan pemakaian selendang khas.
Lebih menarik, corak istimewa yang dijahit pada selendang khas sebenarnya adalah cetakan tarikh-tarikh penting berkaitan Malaysia seperti tarikh lemerdekaan negara.
Sukan Olimpik Paris 2024 bermula pada 26 Julai
Menurut Bernama, misi Malaysia untuk menamatkan penantian hampir tujuh dekad bagi pingat emas Olimpik pertama akan bermula esok apabila pertandingan memanah dimulakan, sehari sebelum upacara pembukaan temasya Olimpik Paris 2024, Jumaat ini.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran sengit daripada atlet-atlet negara lain, marilah kita sama-sama mendoakan kejayaan negara di Sukan Olimpik dan impian emas Malaysia tercapai.
BACA: Pemilik restoran cina muslim diminta mengucap selepas gantung tanglung