Selepas setahun menjalani perkenalan, pelakon Ameerul Asyraf Mohammad akhirnya sah menjadi suami kepada Nurul Nasirah Khalid.
Melalui akad nikah yang berlangsung pada Jumaat yang lalu di Pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Kuala Lumpur, dihadiri wali hakim.
Majlis resepsi pasangan bahagia ini turut diadakan di Johor.
Ameerul berkongsi bahawa persediaan untuk memulakan kehidupan berumah tangga telah bermula sejak Oktober lalu.
“Alhamdullilah, saya telah sah bernikah pada 23 Disember lalu dengan sekali lafaz di pejabat Jawi Kuala Lumpur.
Majlis nikah kami dijalankan secara sederhana dengan kehadiran keluarga terdekat. Selepas akad nikah, kami pulang ke Johor untuk persiapan majlis resepsi.
“Saya membuat keputusan untuk berkahwin sekitar Oktober lalu, jadi persiapan yang ada agak singkat. Saya memilih untuk tidak menganjurkan majlis yang besar, hanya melakukan akad nikah dan majlis persandingan di pihak keluarga saya di Johor,” katanya
Pelakon yang terkenal melalui drama Leftenan Zana ini berharap pernikahannya dengan Nasirah, atau lebih mesra disapa Eyra, dapat menutup segala kontroversi yang pernah melanda dirinya pada satu ketika dahulu.
Ameerul juga berdoa agar perkahwinannya kekal hingga ke akhir hayat.
“Mudah-mudahan, perkahwinan kami berkekalan. Sebelum ini, banyak fitnah dan cakap-cakap buruk mengenai saya, tetapi saya memilih untuk tidak memberi perhatian kepada mulut-mulut netizen.
“Selepas terpalit dengan kontroversi sebelum ini, saya mengakui banyak tawaran kerja lakonan terjejas dan saya hampir tidak mendapat sebarang tawaran berlakon,” katanya.
Ameerul berharap setelah perkahwinan, peluang untuk berlakon akan kembali kepada beliau.
Pelakon ini juga memperjelaskan bahawa video kontroversial ciuman yang tersebar pada Februari lalu adalah rakaman lama dari tahun 2019, dan beliau mempersoalkan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab mendedahkan aibnya.
Baca Juga : Ingat nak berbakti dengan negara sendiri sekali terkejut dengan sikap geng ‘gomen’ kerja