“Kehadiran Nayla Medina sangat bermakna dan menceriakan saya serta keluarga kerana kali terakhir rumah kami riuh dengan tangisan bayi ialah pada 22 tahun lalu,” kata Rospalela Sidi Ahmad.
Rospalela melahirkan anak bongsu, Nayla Medina Anan pada 20 April lalu ketika berusia 50 tahun dan perkongsiannya di Tiktok mendapat perhatian ramai yang turut berkongsi kegembiraan itu.
Dia dan suami, Anan Atan, 53, sebelum ini mempunyai dua anak, Mohd Arif Arman, 26, dan Nurin Qistina, 22.
Berkongsi kisahnya, Rospalela berkata, kehadiran Nayla Medina yang kini berusia 50 hari disifatkan sebagai mimpi yang paling indah biarpun pada mulanya dia berasa segan kerana hamil di usia lewat.
Menurutnya, doktor mengesahkan kehamilannya pada usia lapan minggu selepas kesihatannya kurang baik ketika pulang ke rumah di Benut, di sini dari kampung halaman di Terengganu.
“Rasa terkejut sangat apabila doktor sahkan saya hamil dan saya juga rasa segan juga kerana dua anak sudah dewasa. Tapi kami sangat bersyukur dengan rezeki Allah SWT ini.
“Malah, nak pergi klinik buat buku hamil juga malu-malu dan lucu juga bila jururawat sangka saya mahu periksa kencing manis atau tekanan darah sebaliknya datang mahu buka buku ‘pink’,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Suri rumah itu berkata, meskipun terkejut namun jururawat dan doktor bertugas di klinik mahupun hospital memberi sokongan serta sentiasa memintanya menjaga kesihatan kerana hamil di usia lewat.
“Dua anak juga terkejut tetapi mereka turut teruja menanti kelahiran adik bongsu mereka ini, malah sibuk membuat kelengkapan persiapan kelahiran adik mereka seperti belikan baju, katil dan pelbagai barang lain.
“Alhamdulillah, sepanjang kehamilan semua baik dan dipermudahkan Allah, malah saya rasa macam sekejap saja kehamilan kali ini dan proses melahirkan juga baik,” katanya.
Katanya, dia bersalin di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Terengganu dan lebih istimewa dia turut dijaga ibunya yang sudah berusia 78 tahun sepanjang 35 hari berpantang di rumah wanita itu.
“Mak yang suruh saya balik kampung dan berpantang di rumahnya dan saya akui memang rasa kekok juga nak pegang serta jaga bayi selepas 22 tahun. Ada juga yang sangka saya bawa cucu ke klinik tetapi saya tak ambil hati,” katanya.
Baca : Murid tingkatan satu hilang dari asrama, polis minta bantuan orang ramai