Dapat Lepas Rindu Sekejap,” Keluarga Ini Peluk, Ambil Gambar Dengan Pak Cik Mirip Arwah Atok
Merindui seseorang yang sudah tiada adalah rindu yang paling berat, sebuah perasaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Dalam sebuah kejadian yang menyentuh hati, sebuah keluarga berkongsi detik-detik yang penuh emosi di lapangan terbang ketika mereka menanti kepulangan Opah yang baru pulang dari menunaikan ibadah Haji.
“Alhamdulillah. Terima kasih, ya Allah, dapat kami melepas rindu walaupun hanya mirip dengan arwah Atok.
“Terima kasih pak cik, luangkan masa dengan kami seketika. Semoga pak cik diberikan kesihatan yang baik,” tulis salah seorang ahli keluarga, Aida Suhaila, dalam hantaran di laman TikTok.
Video yang dimuat naik oleh Aida memperlihatkan satu momen yang begitu menyentuh hati.
Ketika mereka sedang menunggu Opah di lapangan terbang, secara tidak sengaja mereka terlihat seorang pak cik yang sangat mirip dengan arwah Atok mereka.
Pak cik tersebut, dengan wajah dan raut yang hampir sama, seolah-olah menghidupkan kembali memori mereka bersama Atok yang sudah lama pergi.
Tanpa ragu-ragu, keluarga tersebut mendekati pak cik itu.
Mereka berpelukan dan mengambil gambar sebagai kenangan, seolah-olah dapat melepaskan rindu kepada arwah Atok yang telah tiada.
“Kisahnya, kami menyambut Opah baru balik dari Haji.
“Tanpa sengaja, kami ternampak seorang pak cik yang mirip ‘sebiji’ macam arwah Atok.
“Saya terus beritahu suami dan kami pun berjumpa dengan pak cik itu secara berdepan.
“Semua sebak sebab dapat melepaskan rindu sekejap. Semua nak ambil gambar sebagai kenangan,” tambahnya.
Kehadiran seseorang tak terduga boleh ubat rasa rindu seketika
Video tersebut buat ramai sebak dan mengundang air mata. Menjengah ke ruangan komen, ada juga warga maya yang berkongsi kisah menyayat hati yang serupa.
“Saya pernah mengalami situasi serupa. Ketika saya dalam perjalanan pulang dari kerja, saya lalu di hadapan surau. Tiba-tiba, saya ternampak seseorang yang sangat mirip dengan arwah ayah saya sedang duduk di depan surau. Pada saat itu, saya benar-benar lupa bahawa ayah sudah meninggal dunia, dan tanpa sedar saya terus memanggil, “abahh..”,”
“Saya pernah berada dalam situasi seperti ini dulu. Pada waktu itu, saya masih belajar. Seorang lelaki datang kepada saya dan berkata, “Adik tunggu sebentar, adik benar-benar mirip arwah adik saya yang meninggal tahun lepas. Saya ingin bawa mak saya jumpa adik.” Saya pun jawab, “Boleh saja, datanglah ke kolej ini.” Keesokan harinya, mereka datang. Mak dia datang dan peluk saya, katanya ingin melepas rindu,”
“Saya pernah menangis di restoran selepas terserempak dengan seorang pak cik yang irasnya benar-benar seperti arwah ayah saya. Malah, wangian yang dipakai pakcik itu pun sama seperti wangian ayah saya. Saya tidak dapat menahan perasaan dan terus menangis teresak-esak,”
BACA: Penerbangan paling mendebarkan! Harungi 14 jam lalu lautan pasifik