Risau “diterbangkan” punca Pak Wan tak mahu rombakan kabinet?

Risau “diterbangkan” punca Pak Wan tak mahu rombakan kabinet?

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, berkata jika ada apa-apa masalah dalaman kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang, ia harus diselesaikan melalui perundingan seperti dalam keluarga.

Sehubungan itu, beliau berpendapat, tiada keperluan untuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merombak Kabinet semata-mata untuk memuaskan hati sesetengah pihak.

Katanya, barisan anggota Kabinet sedia ada mampu melaksanakan tanggungjawab mentadbir negara dengan baik, apatah lagi dalam keadaan kerajaan dan rakyat sedang bergelut dengan pandemik COVID-19 bersama kes yang kian meningkat.

“Kenapa kita harus merombak Kabinet? Kita baru berapa bulan sahaja jadi kerajaan? Kepada sesiapa yang mendesak supaya rombakan Kabinet dibuat, itu hanyalah pendapat peribadi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis ramah mesra bersama 100 pengamal media di negeri ini, di sini malam tadi.

Mohd Redzuan juga percaya rakyat sekarang menyokong Kabinet sedia ada kerana Jemaah Menteri mampu berfungsi dengan baik.

Menegaskan Muhyiddin tidak harus mengalah kepada tuntutan pihak tertentu, beliau meminta semua pihak dalam PN supaya lebih bertanggungjawab memelihara keakraban persahabatan dan kerjasama dalam kerajaan, bukan bersikap ‘baling batu sembunyikan tangan’.

“Kita kena perkukuh kerajaan, bukannya memecah-belahkan perpaduan. Jika ada pihak mendakwa dia menyokong si polan dan pihak lain pula menyokong si polan lain, kita harus bermuhasabah kerana kita berjuang untuk rakyat.

“Kita patuh kepada undang-undang dan Perlembagaan. Rakyat amat memahami masa depan negara amat bergantung kepada kestabilan politik,” katanya.

Berita penuh: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/10/743195/tiada-keperluan-rombak-kabinet-mohd-redzuan

COMMENTS