RM 8.9 Juta Baiki 58 Klinik Daif Di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Kementerian Kesihatan (KKM) memperuntukkan kira-kira RM8.9 juta bagi melaksanakan projek membaik pulih dan menaik taraf 58 klinik kesihatan yang diklasifikasi sebagai daif di seluruh Terengganu.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa, berkata pihaknya sudah mempunyai senarai klinik kesihatan daif di Terengganu dan projek baik pulih serta naik taraf akan dijalankan secara berperingkat mulai tahun ini.

Katanya, pada masa sama Kerajaan Perpaduan memperuntukkan sebanyak RM72.5 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi projek pembangunan baharu fasiliti kesihatan di seluruh Terengganu tahun ini.

Dr Zaliha Mustafa turut berkata projek membaik pulih dan menaik taraf klinik yang diklasifikasi sebagai daif di seluruh Terengganu antara inisiatif yang bakal meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan negeri ini.

Infografik Dr Zaliha Mustafa
Inisiatif Baik Pulih & Naik Taraf Klinik Daif Negeri Terengganu. Infografik: Dr Zaliha Mustafa (Fb)

 

Menurut tulisannya di Facebook, “Sehingga 14 Julai 2023, 21 projek telah disiapkan sepenuhnya dan 36 projek sedang dilaksanakan. 1 lagi projek sedang dalam proses perolehan dan akan dimulakan dalam masa terdekat.”

“Pihak KKM akan terus melakukan audit untuk mengesan klinik-klinik daif yang memerlukan pembaikan bagi menjamin keselesaan petugas kesihatan dan para pesakit.”