Tiga bulan tanpa sebarang jawapan bertulis daripada Jabatan Pendaftaran Perdaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) mengenai pendaftaran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) adalah tidak munasabah, tegas Setiausaha Agung Interimnya Datuk Amiruddin Hamzah.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Kubang Pasu itu berkata, ia menunjukkan seolah-olah jabatan itu menjadi ‘alat kerajaan’ bermotifkan politik, sehingga boleh menimbulkan kecurigaan dalam kalangan rakyat.
Amiruddin berkata, persoalan timbul kerana dua parti lain boleh diluluskan pendaftaran dalam masa yang singkat, berbanding Pejuang.
“Situasi permohonan Pejuang amat berbeza dengan pendaftaran dua buah parti lain antaranya Parti Makkal Sakti Malaysia yang diluluskan dalam tempoh dua minggu, manakala Perikatan Nasional diluluskan dengan kadar segera dalam proses yang amat meragukan.
“Pihak Jawatankuasa Penaja Pejuang sekali lagi ingin Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Mohd Hamzah Zainuddin) dan Ketua Pengarah JPPM (Masyati Abang Ibrahim) membuat keputusan segera dan jelas agar pendaftaran Pejuang diluluskan mengikut prinsip undang-undang,” katanya lagi.
Amiruddin berkata, sudah dua bulan permohonan bertulis dan dalam talian lengkap dikemukakan kepada JPPM, dan masih belum ada tanda-tanda Pejuang akan diluluskan.
Dalam kenyataan itu, beliau turut menyertakan kronologi dan latar belakang proses permohonan Pejuang kepada JPPM:
Satu permohonan bertulis lengkap dan secara atas talian pendaftaran Pejuang telah diserahkan secara kendiri kepada Ketua Pengarah JPPM pada 19 Ogos 2020, bagi mendapatkan kelulusan penubuhan.
Pihak Jawatankuasa Penaja telah menghubungi Pegawai Khas kepada Ketua Pengarah JPPM melalui telefon pada 15 September 2020 untuk memohon temujanji antara Setiausaha Agung Pejuang dan Ketua Pengarah JPPM.
Seterusnya pada 28 September 2020, satu perjumpaan secara bersemuka telah diadakan antara Setiausaha Agung Pejuang dengan Ketua Pengarah JPPM bagi mendapatkan status terkini permohonan.
Amiruddin berkata, pada perjumpaan tersebut, pihak JPPM telah mengajukan cadangan pindaan terhadap Perlembagaan Pejuang.
Pada 2 Oktober 2020, pindaan Perlembagaan Pejuang telah diserahkan semula kepada JPPM bagi tujuan lanjut proses pendaftaran.
Pada 12 Oktober 2020 pula, satu permohonan bertulis untuk mendapatkan status kelulusan Pejuang telah diserahkan kepada JPPM.
Pada 22 Oktober pula, satu surat telah dihantar kepada Hamzah sebagai Menteri Dalam Negeri berkenaan status permohonan Pejuang.
Dan pada hari yang sama, satu surat permohonan kebenaran telah dihantar kepada Ketua Pengarah JPPM untuk menggunapakai lambang Parti Pejuang serta pengendalian laman sesawang Pejuang.
Amiruddin berkata, surat itu selaras dengan Seksyen 6(2) Akta Penubuhan 1996, yang memberi kuasa kepada pihak JPPM untuk memberi keizinan sementara sebelum kelulusan penubuhan.
Berita penuh: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/tiga-bulan-berlalu-status-pendaftaran-pejuang-jadi-tanda-tanya-265860