Roti canai dilapor bakal naik harga hingga RM2.20 bermula Jun. Harga roti canai dan teh tarik bakal melambung memandangkan para pemilik restoran kini sedang berhadapan dengan kenaikan harga barang basah makanan.
Sebahagian pemilik restoran sudah pun menaikkan harga makanan manakala sebahagian yang lain bakal turut serta pada bulan Jun ini.
Harga dijangkakan akan meningkat di antara 10-15%. Harga roti canai akan meningkat sehingga mencecah RM 2.20 berbanding purata sekarang dalam lingkungan RM 1.60 sekeping. Segelas teh tarik pula akan meningkat ke RM 2.50 daripada harga asal RM 1.80.
“Kami memang dengar harga roti canai dan lain-lain di kedai mamak akan naik.”
“Untuk masa ini kami akan cuba kekalkan harga kami. Tetapi kami tidak tahu untuk berapa lama lagi. Jika harga barang terus naik kami akan pertimbangkannya. Maksimum kenaikan harga adalah 10%,” kata Presiden Persatuan Pemilik Restoran India Muslim Malaysia (PRESMA) Jawahar Ali Taib Khan.
PRESMA mempunyai lebih kurang 10,000 ahli dan sudah 15% daripada ahlinya sudah menutup perniagaan mereka sejak wabak pandemik COVID-19 muncul.
“Jika harga tepung terus naik, kami akan pertimbangkan. Kami cuba memberikan harga terbaik jadi kami tidak akan kejar untung tetapi margin jumlah jualan.”
“Kami tak mahu bebankan orang kerana semua orang sedang bermasalah. Perniagaan mula nak naik balik sekarang, tetapi satu-satunya isu yang kami hadapi adalah kekurangan pekerja.”
Menurut Jawahar lagi, harga tepung dan mentega sudah melonjak tinggi. Seguni tepung 25kg sekarang sudah pun mencecah RM62.90 pada bulan Mei sedangkan sebelum ini ia cuma RM49.90 pada bulan Januari.
Harga marjerin pula kini mencecah RM100 sedangkan sebelum ini harganya cuma RM85 sahaja.
baca:
Jenama mentega kacang Jif diminta tarik balik produk, ini puncanya