Rupanya ada sebab kenapa Malaysia hantar pegawai lagi ramai dari atlet sukan ke Olimpik

Baru-baru ini warga maya mempersoalkan bilangan pegawai daripada kontinjen Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024 lebih ramai daripada 26 atlet yang bertanding.

Mereka berpendapat 40 pegawai yang berada bersama atlet boleh menjurus kepada pembaziran wang rakyat

Bagaimanapun, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tampil menjelaskan kehadiran ramai pegawai yang mempunyai peranan masing-masing adalah untuk memastikan atlet mendapat sokongan diperlukan.

MOM dalam satu kenyataan, berkata kontinjen negara ke Paris terdiri daripada 26 atlet dan 40 pegawai termasuk 15 pakar teknikal, 11 kakitangan sokongan, sembilan pengurusan dan sekretariat serta lima pengurus pasukan.

Semua 15 jurulatih dan pengarah teknikal bertanggungjawab membabitkan latihan, pembangunan strategi, dan prestasi atlet.

“Bagi 11 kakitangan sokongan pula, pasukan ini merangkumi pakar perubatan, ahli fisioterapi, tukang urut, jurulatih kecergasan, pegawai kesihatan mental, mekanik, dan penganalisis prestasi, yang penting dalam mengekalkan kesejahteraan fizikal dan mental atlet serta memastikan atlet berada pada tahap prestasi terbaik.

“Sekumpulan sembilan pegawai, diketuai oleh ketua kontinjen, Datuk Hamidin Mohd Amin dan dibantu timbalannya, Datuk Nicol David memainkan peranan menguruskan pendaftaran atlet dan pegawai, logistik, hubungan media, keselamatan dan koordinasi dengan MSN (Majlis Sukan Negara) dan ISN (Institut Sukan Negara). Peranan mereka adalah kritikal untuk memastikan operasi kontinjen berjalan lancar.

“Lima pengurus pasukan pula akan mengiringi atlet masing-masing dan menguruskan keperluan mereka,” kata kenyataan itu.

Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024
Kenyataan sama turut memaklumkan MOM sebagai penjaga Sukan Olimpik di Malaysia, badan induk itu dikehendaki oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) untuk memastikan semua atlet negara menerima sokongan yang menyeluruh.

“Ini termasuk jurulatih, pakar teknikal, dan pelbagai perkhidmatan penting untuk mengoptimumkan prestasi. Pembiayaan disediakan sebahagiannya oleh badan-badan IOC, bersama dengan sumbangan daripada MSN dan ISN.

“MOM juga ingin menekankan bahawa semua perbelanjaan dirancang dengan teliti bagi memastikan kejayaan atlet negara. Pakaian rasmi dan bagasi yang menjadi perhatian ditaja sepenuhnya rakan kongsi lama kami, Yonex Sunrise Malaysia dan Samsonite Malaysia, memastikan tiada beban kewangan tambahan ke atas MOM atau atlet-atlet,” katanya.

Baca : Faisal Halim mula berjinak jadi pelakon