Ketika menunaikan ibadah haji atau umrah di Tanah Suci Mekah, para jemaah akan melakukan tawaf yang akan bermula dan berakhir di Hajarul Aswad. Ketika ini, ramai yang mengambil peluang untuk menciumnya.
Untuk makluman, Hajarul Aswad adalah satu bongkah batu yang berwarna hitam dan menjadi perhatian umat Islam ketika mengerjakan ibadah Umrah atau Haji.
Terdapat riwayat menyebutkan bahawa batu ini berasal dari syurga dan diletakkan oleh Nabi Ibrahim AS di salah satu daripada penjuru Kaabah.
Allah SWT menurunkannya dari Syurga sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis yang sahih iaitu:
Daripada Ibn Abbas R.anhuma berkata, bahawa Nabi SAW pernah bersabda:
نَزَلَ الحَجَرُ الأَسْوَدُ مِنَ الجَنَّةِ، وَهُوَ أَشَدُّ بَيَاضًا مِنَ اللَّبَنِ فَسَوَّدَتْهُ خَطَايَا بَنِي آدَمَ
Maksudnya: “Al-Hajar al-Aswad diturunkan dari Syurga. Warna lebih putih daripada putihnya susu tetapi ia telah dihitamkan oleh sebab dosa-dosa anak Adam.” [Riwayat al-Tirmizi (877)][Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan sahih]
Sudah tentu ia menjadi perhatian dan umat Islam di seluruh dunia akan mencium batu tersebut jika berpeluang melakukannya. Bagaimanapun, ia bukanlah satu amalan yang wajib dilakukan.
Memetik Maktabah Al-Bakri, hukum mencium atau memegang batu Hajarul Aswad adalah sunat. Perbuatan tersebut juga bukanlah bererti menyembah batu itu tetapi ia adalah sebagai salah satu sunnah Nabi.
Hal ini bersesuaian dengan hadis yang menyebut:
إِنِّي أَعْلَمُ أَنَّكَ حَجَرٌ مَا تَنْفَعُ وَلاَ تَضُرُّ، ولَوْلا أنِّي رأَيْتُ رسولَ اللَّه صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم، يُقَبِّلُكَ مَا قَبَّلْتُكَ
Maksudnya: “Sesungguhnya aku (Saidina Umar al-Khattab) mengetahui, engkau hanyalah batu yang tidak memberi manfaat dan mudarat. Jika tidak kerana aku melihat Rasulullah SAW menciummu, nescaya aku tidak akan menciummu.”
Riwayat Al-Bukhari (167)
(Hadis dipetik daripada Maktabah Al-Bakri hasil penulisan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri)
Percayakah anda bahawa Hajarul Aswad ini pernah dicuri selama 23 tahun?
Sebagai batu suci yang terletak di Kaabah, Hajarul Aswad sebenarnya pernah dicuri selama 23 tahun. Pada tahun 930, batu ini telah dicuri oleh kaum Qaramitah atau Qarmatians di bawah pimpinan Abu Tahir Al-Qarmati.
Untuk makluman, Qaramitah atau Qarmatians adalah salah satu kelompok Muslim Syiah yang menetap di bahagian Arab Timur pada masa ini.
Berdasarkan catatan sejarah, kecurian ini turut disertai dengan insiden 30,000 jemaah haji yang dibelasah ketika sedang berada di Masjidil Haram.
Setelah dicuri, Hajarul Aswad dibawa oleh Abu Tahir ke masjid miliknya, Masjid Al-Dirar yang terletak di Bahrain.
Motif kecurian batu ini sangat aneh. Abu Tahrir mencuri batu berkenaan kerana dirinya mahu para jemaah beralih dari Masjidil Haram, Mekah ke masjidnya untuk menunaikan ibadah haji.
Sungguhpun begitu, harapannya terkubur kerana ibadah haji terus dilaksanakan di Masjidil Haram, meskipun tanpa kehadiran Hajarul Aswad.
Disebabkan itu, Hajarul Aswad telah hilang daripada Kaabah selama dalam lingkungan 23 tahun, sebelum dikembalikan semula pada tahun 953.
Menurut sejarawan, kelompok Qaramitah dilaporkan sempat meminta wang tebusan kepada Bani Abbasiyah semasa Hajarul Aswad ingin dikembalikan semula.
Pengembalian batu ini pun dilakukan dengan cara dilempar, sehingga batu tersebut terpecah menjadi tujuh bahagian.
Tidak lama selepas itu Hajarul Aswad hampir dimusnahkan oleh seseorang pada abad ke-11 tetapi percubaan itu digagalkan. Pelakunya telah dibunuh di tempat kejadian oleh pengawal yang menjaga Hajarul Aswad.
BACA: Wanita terkejut kawan baik suruh layan nafsu ayahnya jika tak mampu bayar hutang