Sampai ke sudah Zaki Yamani tak kongsi keputusan SPM, ini sebabnya

PENYANYI Zaki Yamani lebih selesa merahsiakan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diperoleh pada Mei lalu daripada pengetahuan umum.

Zaki atau Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah, 18, menyifatkan perkara itu sebagai privasi yang tidak perlu dihebohkan secara terbuka.

Sebaliknya apa lebih penting kata Zaki, dia mahu fokus kepada perancangan masa depan tanpa menoleh ke belakang lagi.

Zaki mahu fokus ke hadapan.

“Itu adalah privasi saya dan bukan semua perkara perlu dihebohkan.

“Saya memilih untuk tidak beritahu dan saya tidak mahu kenang masa lalu sebaliknya fokus masa depan,” katanya kepada mStar.

Zaki berkongsi perkara itu ketika ditemui pada acara Meet and Greet Zaki Yamani yang berlangsung di Kuala Lumpur pada malam Isnin.

Mengulas mengenai perkongsian sasaran keputusan SPM sebelum ini, Zaki menjelaskan tindakan itu disebakan desakan orang ramai.

“Masa ditanya tentang sasaran pun saya sebenarnya tak mahu kongsi tapi mereka paksa saya.

“Tapi tidak mengapa benda pun sudah berlalu,” ujarnya.

Berkongsi mengenai perancangan masa depan, Zaki memberitahu dia mahu menyambung pengajian dalam bidang berkaitan muzik.

Zaki memberitahu dia juga ada menerima beberapa tawaran menyambung pengajian namun masih dalam pertimbangan.

Zaki bakal lanjutkan pelajaran.

“Alhamdulillah saya ada dapat beberapa tawaran universiti malah ada juga mahu melantik saya sebagai duta.

“Tapi saya mahu lihat dulu pengkhususan yang ditawarkan sama ada bersesuaian atau sebaliknya sebab saya berminat dalam bidang berkaitan muzik tetapi bukan vokal,” katanya.

Sebelum ini, Zaki secara terbuka berkongsi sasaran SPM sebanyak 7A namun mendiamkan diri sebaik sahaja keputusan peperiksaan itu diumumkan.

 

Baca : “Rahsia..” – Tun Mahathir