Tindakan Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegu Bard telah menimbulkan pelbagai reaksi orang ramai kerana hadir di mahkamah mengenakan pakaian tradisi Baju Melayu.
Sambil tersenyum bangga, Chegu Bard mendapat kritikan orang ramai yang mencemuh dengan kata ‘jangan berbangga mengaku melayu sekiranya tiada adab’
Terdahulu Chegubard tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dengan tangan bergari dan memakai set lengkap baju Melayu serta dikawal ketat polis sebelum dibawa masuk ke mahkamah pada jam 9.20 pagi.
“Assalamualaikum, selamat hari raya,” katanya ringkas kepada pengamal media yang mengambil foto dan videonya.
Chegu Bard hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Dia, berdepan dua pertuduhan memfitnah dan menghasut untuk merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong..
Chegu Bard, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu yang dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menerbitkan penerbitan menghasut di Facebook di bawah perenggan 4(1)c Akta Hasutan 1948 [Akta]15 yang boleh dihukum dibawah subseksyen 4(1) akta yang sama yang dilakukan pada 6 April lalu.
Dia juga berdepan pertuduhan mengeluarkan kenyataan fitnah di mana dia didakwa mempunyai sebab untuk percaya bahawa ia akan merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.
Kesalahan didakwa dilakukan di Istana Negara, jam 6 petang pada 22 Januari lalu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa kepada hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(C) Akta Hasutan 1948 (Akta 15), boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama iaitu denda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Jika kesalahan sama dilakukan, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih lima tahun.
Timbalan Pendakwa Raya Syed Faisal Syed Amir yang mengendali kes itu memohon mahkamah menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.
“Pihak pendakwaan juga memohon perintah larangan bersuara (gag order) agar kedua-dua pihak tidak mengeluarkan sebarang komen atau kenyataan umum di mana-mana platform media sosial sehingga kes selesai,” katanya.
Permohonan itu, kata Syed Faisal, mengambil kira kesalahan yang dilakukan melibatkan Yang di-Pertuan Agong dan bagi memastikan perjalanan kes ini tidak diganggu serta mengekalkan ketenteraman awam.
Bagaimanapun, peguam tertuduh Rafique Rashid Ali, memohon jaminan dikurangkan dan perintah larangan bersura diketepikan.
Katanya, anak guamnya menanggung isteri dan empat anak, selain memaklumkan bahawa jumlah jaminan RM20,000 yang ditawarkan pendakwaan agak tinggi berbanding hukuman yang diperuntukkan di bawah Akta Hasutan (RM5,000).
“Pihak kami bagaimanapun membantah perintah larangan bersuara kerana berpendapat ia adalah tidak berperlembagaan kerana rakyat perlu diberi kebebasan bersuara.
“Perintah yang dimohon pula tidak khusus dan kes ini berkepentingan awam.
“Pihak pendakwaan juga tidak mengkhususkan perintah larangan yang dipohon,” kata peguam itu.
Hakim Siti Aminah kemudian menetapkan jaminan pada RM10,000 setiap pertuduhan dan menolak perintah larangan terbabit serta menetapkan kes akan disebut semula pada 27 Mei ini.
Baca juga : PAS tak turun kempen di KKB