Perjalanan Sissy Imann dalam mengejar ijazah sarjana dalam bidang muzik hampir mencapai penamatannya apabila tesisnya diluluskan selepas melalui dua kali proses semakan.
Sissy, atau nama penuhnya Sissy Imann Mohammad Kamil, 29 tahun, menggambarkan perjalanan empat tahun menimba ilmu di Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai penuh kenangan manis namun disertai juga dengan perasaan sebak, terfikirkan akan segala usaha yang telah dilakukan untuk mencapai impian tersebut.
“Menginjak hampir ke garis penamat selepas empat tahun, hanya satu perkara yang tinggal – menghantar tesis akhir saya.
“Dalam IG Story miliknya pada petang Khamis, Sissy berkongsi perasaan sebak ini serta mengucapkan terima kasih kepada pensyarah yang memberikan sokongan yang amat berharga,” katanya.
Sissy menambah bahawa dia mengambil masa empat tahun untuk menyelesaikan program ijazah sarjana tersebut kerana program yang diambil adalah secara kajian.
“Setiap individu mempunyai perjalanan yang berbeza dalam menamatkan pengajian masing-masing. Ada yang boleh menyelesaikan PhD dalam tempoh empat tahun.
“Bagi Sissy sendiri, banyak proses yang perlu dilalui sebagai pelajar master by research di UiTM. Tempat lain mungkin ada perbezaan,” jelasnya.
Mengenai tujuan sambung belajar, Sissy yakin bahawa pendidikan memainkan peranan penting dalam membentuk diri seseorang menjadi insan yang lebih baik.
“Nilai-nilai yang terbentuk sepanjang perjalanan pengajian akan menentukan sama ada kita akan menjadi individu yang lebih baik atau sebaliknya.
“Jadi, penting untuk bertanya pada diri sendiri, apa tujuan sebenar kita menyambung belajar? Jika hanya untuk faktor kewangan semata-mata, jawapannya tidak. Tujuan kita perlu lebih mendalam,” katanya.
Untuk catatan, Sissy juga adalah seorang bekas graduan Ijazah Sarjana Muda Perguruan dalam bidang Pendidikan Muzik dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Ilmu Khas, Cheras, Kuala Lumpur.
Baca Juga : Dikategorikan sebagai lauk kampung paling sedap, Rendang Kacang Nismilan memang terangkat