“Saya marah suami dalam hati je depan kaabah, lepas tu suami saya terus hilang..”

SABAN tahun, banyak kisah menarik dan menginsafkan yang berlaku di Tanah Haram dikongsi para jemaah haji.

Kali ini, seorang wanita dikenali sebagai Dr Linda Raharjo turut meraih perhatian warga TikTok apabila dia berkongsi kisahnya ‘ditegur’ di hadapan Kaabah.

Menurut ibu kepada empat cahaya mata itu, pengalaman berkenaan berlaku ketika dia dan suaminya mengerjakan ibadah tawaf.

"Saya marah suami dalam hati je depan kaabah, lepas tu suami saya terus hilang.."

Makkah himpun jutaan umat Islam dari seluruh dunia pada musim haji.

“Waktu itu saya sedang tawaf mengelilingi Kaabah. Ketika tawaf, entah kenapa berlaku salah faham antara saya dan suami gara-gara masalah remeh.

“Saya kesal dengan suami dan merungut dalam hati. Saya kata, saya boleh tawaf sendiri tanpa suami. Entah kenapa, genggaman tangan saya dan suami terlepas.

“Suami saya entah ke mana, seperti dibawa arus jemaah yang sedang mengelilingi Kaabah. Saya cuba tenangkan diri untuk teruskan tawaf walau hati cemas,” ujarnya memulakan cerita.

Kita sebagai isteri harus mentaati suami selagi dia tidak melakukan perkara yang salah di sisi agama.

Ketika itu juga, Linda berkata dia secara tiba-tiba mula diserang sakit pada bahagian perut yang mana ia digambarkan seperti rasa seorang ibu mahu bersalin.

“Entah kenapa perut saya sakit sangat. Macam perempuan mahu bersalin. Peluh membasahi tubuh saya sebab menahan sakit. Tapi saya terus kelilingi Kaabah walaupun bertatih.

“Saya juga berkata pada diri sendiri. Ya Allah, apa yang saya buat? Mungkin tadi saya buat silap dengan suami dan bersikap sombong kononnya boleh sendirian tanpa dia. Bukankah isteri perlu taat pada suami?

“Sambil menangis saya merintih kepada Allah dan memohon ampun atas kekhilafan semasa tawaf tersebut,” cerita wanita itu lagi mengimbas pengalamannya ketika mengerjakan haji pada tahun tahun 2015.

Selepas berdoa di hadapan Kaabah, wanita itu berkata sakitnya mula berkurang, malah dia juga berupaya untuk menunaikan solat sunat sebelum suaminya tiba-tiba muncul dari arah belakang.

“Beberapa minit selepas meminta ampun kepada Allah, perut yang sakit beransur hilang. Lama-lama ia hilang. Setelah tujuh kali putaran Kaabah, saya solat dua rakaat di Makam Ibrahim.

“Selesai ucap salam, suami saya menepuk bahu daripada belakang. Alhamdulillah, saya dipertemukan dengan suami. Saya terus memeluknya di hadapan Kaabah dan meminta maaf,” ujarnya.

Menjejakkan kaki ke tanah suci Makkah adalah merupakan impian setiap umat Islam.

Akhir perkongsiannya, wanita itu turut berpesan agar tidak sombong dengan suami kerana mereka merupakan imam bagi setiap isteri dan keluarga.

“Kadang-kadang kerana ego isteri, apa yang dilakukan pasangan nampak salah pada mata kita. Padahal di hadapan Allah, kita sebagai isteri harus mentaati suami selagi suami tidak melakukan perkara yang salah di sisi agama.

“Jangan sombong sebagai wanita hanya kerana kita mampu. Suami adalah imam kita, imam keluarga. Yang mana kedudukannya mulia pada pandangan Allah,” ujarnya.

Perkongsian wanita Indonesia itu meraih 2.8 juta tontonan di aplikasi TikTok, malah ia turut meraih perhatian netizen dari Malaysia.

 

Baca : Afifah Nasir terkejut tahu dia boleh masak rupanya