‘Saya melacur demi nak besarkan anak’ pengakuan wanita ini buat kecoh warga net

Mahkamah Majistret di sini telah menjatuhkan denda sebanyak RM2,500 kepada seorang wanita hari ini kerana terlibat dalam aktiviti pelacuran menggunakan aplikasi WhatsApp di sebuah hotel minggu lalu.

Tertuduh, Rohayu Yusof, 39, yang mengaku salah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah, dikenakan hukuman oleh Majistret Nabilah Nizam.

Menurut kertas pertuduhan, ibu kepada tiga anak itu dituduh mencari pelanggan untuk tujuan persundalan.

'Saya melacur demi nak besarkan anak' pengakuan wanita ini bikin kecoh

Kesalahan ini dilakukan pada kira-kira jam 9.40 malam di bilik hotel di Jalan Laksamana Cheng Ho, dalam daerah Melaka Tengah pada 11 Januari 2024.

Sabit kesalahan tertuduh melibatkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan.

Dalam fakta kes, serbuan dilakukan oleh pasukan pegawai dan anggota Cawangan D7 Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah, Melaka Tengah, setelah mendapat maklumat, melakukan pemerhatian, dan menyamar sebagai pelanggan di hotel tersebut.

Polis juga merampas barang-barang termasuk lima keping kondom, minyak pelincir, tisu, tuala, dan wang tunai RM150 yang disyaki hasil daripada aktiviti pelacuran.

Peguam Nuradzlyn Sharmine Azrin Sham yang mewakili tertuduh merayu hukuman denda yang minimum dengan menyatakan bahawa anak guamnya telah insaf. Dia juga memberitahu mahkamah bahawa tertuduh terpaksa melibatkan diri dalam perbuatan itu kerana kesempitan hidup untuk membesarkan tiga anak yang berusia 13, sembilan, dan empat tahun.

Walau bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Haqim Zamri yang menjalankan pendakwaan memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,500 atau penjara selama tiga bulan jika tertuduh gagal membayar denda tersebut.

Baca Juga : Perangai ahli politik di Malaysia buat artis antarabangsa malas nak masuk Malaysia