Search buang penyanyi asal ambil penyanyi baru, apa isu pula ni?

Belum reda isu pergelutan berpecahnya kumpulan legenda negara ini, berlaku pula isu penukaran penyanyi yang menggantikan penyanyi asal kumpulan Search.

Penyanyi, Amir Masdi, 28, tidak pernah terfikir dan bayangkan satu hari nanti dia akan menjadi penyanyi untuk kumpulan rock legenda, Search di konsert mereka.

Namun, semuanya menjadi kenyataan apabila anggota Search, Noordin Mohd Taib dan Kid mempelawanya menjadi penyanyi mereka di Konsert Search Gemuruh di Zepp Kuala Lumpur pada 29 Jun ini.

“Saya sangat terkejut. Tak sangka dan tak pernah bayangkan akan ada dalam satu poster dan berkongsi pentas dengan band legenda. Saya fikir hanya artis jemputan, tapi jadi penyanyi rupanya.

“Ini projek yang istimewa untuk karier saya kerana Search adalah band legenda,” katanya kepada media.

Amir atau nama sebenarnya Amir Syazwan Masdi berkata, perbincangan sebelum Aidilfitri itu membawa kepada persetujuan yang umpama impian yang menjadi kenyataan buatnya.

“Sebelum Aidilfitri, mereka (Nordin dan Kid) ada berbincang dengan pihak pengurusan saya. Mereka nak jadikan saya penyanyi untuk konsert itu, tapi bukan Search,” katanya.

Amir berkata, sesi latihan sudah dimulakan selepas Aidilfitri dan dia menyerahkan mengenai pemilihan lagu kepada Search memandangkan itu adalah konsert mereka.

“Saya baru mulakan minggu ini. Jadi ada sebulan lebih untuk saya menjiwai lagu dan biasakan diri dengan Search.

“Untuk senarai lagu, saya serahkan kepada Search kerana itu konsert mereka. Tugas saya menyanyi. Kalau ada lagu yang mungkin saya tak selesa, mereka tak main. Tapi, setakat ni tak ada masalah pun.

“Lagu-lagu mereka sangat tinggi dan saya sebagai penyanyi kena galas tanggungjawab dan cuba sebaik mungkin.

“Saya ada rancang untuk ambil guru vokal juga untuk mempersiapkan diri agar dapat bertahan di atas pentas sepanjang dua jam,” katanya.

Jumlah dan senarai lagu yang akan dipersembahkan di acara konsert itu masih lagi dalam perbincangan dan dirahsiakan.

Selain Amir, konsert berkenaan turut menampilkan Ritz Metalasia, Muzza, Addy Cradle dan Jovita Pearl dari program X Factor Indonesia.

Baca juga : https://www.infopertiwi.com/orang-curang-akan-curang-lagi-ke-ini-jawapan-pakar/