Salah satu konten yang digemari oleh orang awam adalah memburu hantu di rumah-rumah kosong. Pelbagai cerita dongeng yang direka bagi melariskan lagi konten pencipta kandungan di media sosial.
Baru-baru ini, waris kepada pemilik sebuah rumah kosong di Semarang, wilayah Jawa Tengah telah membuat laporan polis terhadap tiga saluran YouTube dan dua akaun TikTok kerana menghasilkan konten seram di hartanah berkenaan tanpa pengetahuan mereka, lapor berita Detik.
Individu yang hanya dikenali sebagai AH berkata, kandungan laman sosial itu mendatangkan kerugian kepada mereka kerana rumah tersebut kini berada dalam proses penjualan.
Gara-gara konten sebegitu, hartanah itu tidak laku dijual bahkan beberapa calon pembeli yang berminat juga pilih menarik diri di saat akhir.
“Lapan calon pembeli menarik diri disebabkan kandungan-kandungan seram mengenai rumah itu,” katanya.
Tambah AH, kediaman itu kosong sejak enam bulan lalu dan masih terdapat banyak barangan berharga di dalamnya.
“Namun, keadaan dalam rumah bersepah. Ada juga sisa barangan yang rosak dan pecah.
“Banyak barangan hilang seperti sembilan unit penyaman udara, perhiasan diperbuat daripada emas 28 gram dan televisyen. Kami tidak tahu siapa yang mencurinya,” jelasnya lagi.
Tambah AH, sepanduk yang bertulis ‘Untuk dijual’ di luar pagar rumah juga dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Penghasil kandungan masuk ke rumah itu melalui tingkap. Dalam video yang mereka rakam ada buktinya,” ujarnya.
Tidak hanya barangan habis dicuri, dia turut meluahkan rasa kesal dengan tindakan individu terbabit yang memaparkan dokumen-dokumen peribadi milik keluarganya dalam video yang dimuat naik.
“Gambar-gambar bapa saya juga dipaparkan, perhiasan rumah turut ditayang. Mereka juga membuat cerita palsu yang mengatakan bahawa rumah itu sudah ditinggalkan 10 tahun dan milik orang kaya Arab,” terangnya.
Sementara itu, ketua polis tempatan, Komisioner Polis Andika Dharma Sena mengesahkan sudah menerima laporan berhubung perkara itu dan dalam proses menyiasat kes tersebut.