SEGERAKAN DASAR PEMULIHAN EKONOMI BAHARU, BERHENTI MENYALAHKAN PENTADBIRAN PAKATAN HARAPAN
1. Hasil dapatan Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) dan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) baru-baru ini mengenai masa depan sektor pengilangan dan impaknya terhadap peluang pekerjaan rakyat Malaysia amat membimbangkan. Kaji selidik itu menunjukkan hampir separuh responden berniat memberhentikan pekerja sebanyak 30% tahun ini dan 10%-20% pada tahun 2021. Bukan itu sahaja, majoriti responden yang mahu memotong gaji pekerja berniat mengurangkan bayaran antara 5%-20%.
2. Kaji selidik ini menunjukkan ekonomi Malaysia masih lemah dan keadaan ini dijangka berterusan sehingga tahun hadapan. Lebih 2/3 responden juga telah berkata mereka memerlukan sehingga 2 tahun untuk kembali beroperasi pada tahap kapasiti sebelum COVID-19. Ini jelas bertentangan dengan apa yang cuba digambarkan oleh Menteri Kewangan YB Dato’ Sri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum ini bahawa ekonomi Malaysia sedang pulih dengan cepat. Kerajaan Perikatan Nasional tidak boleh terbelenggu dengan sindrom penafian dan hendaklah memperkenalkan lebih banyak inisiatif rangsangan ekonomi bersasar dengan segera.
3. Justeru, kerajaan disaran untuk menyegerakan pengenalan pelan pemulihan ekonomi jangka sederhana dan panjang kepada bulan September, berbanding rancangan asal iaitu pada bulan Oktober. Pelan baharu ini memerlukan suntikan dana kerajaan yang besar untuk mempercepatkan proses pemulihan industri dan bagi mengelakkan lebih ramai rakyat Malaysia dibuang kerja. Malah, moratorium pinjaman wajar diteruskan untuk semua bagi tempoh enam bulan sehingga Mac 2021. Ini adalah penting untuk memastikan aliran tunai rakyat kekal kukuh dan seterusnya dapat meningkatkan perbelanjaan swasta yang merupakan lebih 50% nilai Keluaran Dalam Negara Kasar.
4. Program Subsidi Upah yang diperkenalkan sebelum ini juga harus diperbaiki kerana jelas ia tidak mampu untuk mengelakkan pembuangan kerja. Pada suku kedua 2020, data Jabatan Perangkaan menunjukkan 792,000 rakyat Malaysia menganggur berbanding 521,000 individu setahun lepas. Bukan itu sahaja, jumlah pekerjaan dalam sektor swasta telah menurun sebanyak 236,000 pada tempoh setahun, manakala kekosongan kerja menurun sebanyak 48,000. Program Subsidi Upah juga harus dilanjutkan untuk tempoh sekurang-kurangnya 6-12 bulan lagi.
5. Bagi sektor-sektor yang masih terjejas teruk, pula, kerajaan digesa untuk memberi subsidi sebanyak 80% daripada gaji untuk semua jenis syarikat di sektor-sektor terjejas teruk tanpa dihadkan mengikut bilangan pekerja seperti ketika ini, jika pihak syarikat dapat membuktikan mereka mempunyai kesusahan meneruskan operasi. Singapura misalnya, telah memberikan subsidi gaji sebanyak 75% sebelum ini dan baru-baru ini telah melanjutkan subsidi upah sehingga Mac 2021 bagi sektor-sektor yang terjejas teruk akibat wabak COVID-19.
6. Selain itu, kerajaan juga disaran untuk memperkenalkan potongan cukai korporat sementara bagi tahun 2021 terutama bagi syarikat-syarikat yang tidak membuang pekerjanya. Ini dapat memberi insentif kepada syarikat-syarikat untuk mengekalkan saiz pekerja pada masa ketidaktentuan ekonomi seperti sekarang. Pada masa yang sama, kerajaan juga perlu mengkaji potongan cukai pendapatan sementara bagi individu-individu berpendapatan RM10,000 ke bawah. Kerajaan juga digesa agar tidak mengenakan cukai pendapatan ke atas bonus tahunan pada tahun 2020 seperti sebelum ini. Inisiatif-inisiatif ini mampu meningkatkan pendapatan boleh guna (disposable income) rakyat dan membantu merangsang perbelanjaan swasta.
7. Kerajaan hendaklah menunjukkan kesungguhan keprihatin terhadap rakyat dan berhenti mentohmah dan menyalahkan pentadbiran lalu Pakatan Harapan yang turut dianggotai menteri yang sama. Keluhan industri dan pekerja-pekerja hendaklah diberikan perhatian serius dengan memperkenalkan dasar pemulihan ekonomi baharu dengan segera. Dasar pemulihan ini juga perlu mengandungi “structural reforms” bersifat jangka panjang untuk menyediakan ekonomi negara menghadapi cabaran masa hadapan.
FAIZ FADZIL
26 Ogos 2020
Sumber :