Sekali lagi Azmin “diludah muka” oleh Umno, kali ini Khaled pula

Perbincangan agihan kerusi pilihan raya Muafakat Nasional hanya melibatkan parti-parti gabungan itu dan bukannya dengan individu tertentu, kata Naib Presiden Umno Khaled Nordin.

Justeru, menurutnya, tidak timbul soal jika Umno perlu berbincang dengan mana-mana pemimpin yang baru menyertai Bersatu termasuk dengan Mohamed Azmin Ali.

“Apabila melibatkan perbincangan agihan kerusi pilihan raya, ia antara parti iaitu Umno dan Bersatu.

“Tidak timbul isu melibatkan perbincangan bersama dengan individu,” katanya yang dipetik akhbar Utusan Malaysia.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas penyertaan Azmin ke dalam Bersatu. Persoalan berbangkit apabila status kerusi parlimen Gombak yang disandang oleh menteri kanan itu dibangkitkan – sama ada bekas timbalan presiden PKR itu akan mempertahankan Gombak – atau kerusi akan diagihkan mengikut kuota parti.

Pada 22 Ogos lalu, Azmin secara rasmi mengumumkan menyertai Bersatu, bersama penyokongnya termasuk bekas pemimpin dan bekas aanggota PKR dari kalangan bukan Melayu.

Sementara itu, akhbar tersebut juga memetik Timbalan Pengerusi Umno Johor Nur Jazlan Mohamed sebagai berkata, penyertaan Azmin ke dalam Bersatu menunjukkan parti itu seolah-olah pokok kiambang.

Menurutnya, Bersatu dilihat seperti tidak mempunyai pendirian diri kerana mudah menerima sesiapa sahaja untuk menjadi ahli parti tersebut.

Mengulas lanjut kenyataannya itu, Nur Jazlan membuat perbandingan kekuatan akar umbi antara parti PAS-Umno dan Bersatu di dalam Perikatan Nasional untuk menghadapi pilihan raya nanti.

“Macam Umno dan PAS, kita ada akar umbi dan pandangan mereka sentiasa diambil kira untuk memperkukuh parti.

“Mereka (Bersatu) hanya menumpang kekuatan orang, jika dahulu Pakatan Harapan dan mungkin sekarang Umno dan PAS,” katanya.

Berita penuh: https://www.malaysiakini.com/news/539942