Sektor Korporat akan menghadapi empat cabaran besar tahun ini. Firma penyelidikan mendedahkan terdapat empat cabaran besar yang menantikan sektor korporat tahun ini selepas turut bergelut dengan persekitaran ekonomi mencabar sepanjang 2022.
Ketua Penyelidik CGS-CIMB, Ivy Ng Lee Fang, berkata firma itu melihat 2023, bakal menjadi satu lagi tahun yang penuh cabaran kepada sektor korporat termasuk perlu menyesuaikan diri dengan landskap pentabiran baharu negara di bawah kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kedua, sektor korporat juga perlu menyesuaikan diri dengan peningkatan kos operasi kerana kerajaan berkemungkinan akan melaksanakan rasionalisasi subsidi tarif bahan api dan elektrik.
“Ketiga, mereka juga perlu menghadapi masalah global dalam bentuk pertumbuhan ekonomi dunia yang lebih perlahan dan kadar faedah yang lebih tinggi.
“Terakhir, sektor ini juga harus menangani kesan perang Russia-Ukraine yang berterusan yang mana boleh menyebabkan harga komoditi kekal tinggi,” katanya dalam nota penyelidikan.
Mengulas lanjut, Lee Fang berkata, pelabur berkemungkinan akan kekal berhati-hati pada separuh pertama tahun ini bagi mendapatkan isyarat lebih jelas tentang dasar daripada kerajaan baharu dan potensi cukai tambahan dalam Bajet 2023 yang baharu yang kemungkinan akan dibentangkan bulan depan.
“Selain itu, pelabur juga akan mengukur kestabilan kerajaan perpaduan baharu melalui beberapa acara penting, seperti pemilihan parti UMNO dan enam pilihan raya negeri,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, CGS-CIMB berpendapat risiko kelemahan boleh dihadkan oleh jangkaan pertumbuhan pendapatan penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang lebih kukuh sebanyak 12.8 peratus pada 2023 berbanding -2.9 peratus tahun lalu.
“Selain itu, pegangan saham asing menghampiri paras terendah dalam sejarah dan pelabur institusi domestik akan menjadikan pembeli bersih dalam pasaran pada kecairan yang lebih baik.
“Kami menjangkakan pasaran akan menetapkan harga dalam risiko dan ketidaktentuan pada separuh kedua 2023.
“Kami menjangkakan kenaikan kadar faedah global akan memuncak pada tahun ini dan kebimbangan terhadap kestabilan politik serta potensi perubahan dalam dasar yang mungkin berlaku pada separuh pertama 2023,” katanya.
Secara keseluruhan, CGS-CIMB berkata, ia menjangkakan pasaran tidak menentu pada enam bulan pertama 2023.
Mengenai pasaran modal, Lee Fang berkata, pertumbuhan pendapatan korporat dijangka kukuh tahun ini dengan unjuran pendapatan KLCI sebanyak 12.8 peratus di mana menjadi pertumbuhan pendapatan tertinggi direkodkan konstituen KLCI sejak 2021.
“Pertumbuhan pendapatan yang kukuh akan dipacu oleh saham bank dan syarikat perjudian serta berakhirnya Cukai Makmur,” katanya.
BACA JUGA :
SPRM tahan bekas pengerusi NGO yang bergelar Datuk, disyaki kemukakan tuntutan palsu
COVID19 : Jumlah kes menurun ke 405, namun terdapat 1 kes kematian
Umat Islam perlu berikan contoh yang baik, buktikan Islam agama perpaduan