Pelawak terkenal, Shuib tampil memohon maaf atas kekhilafan dan kelanjuran selepas membuat pengakuan pernah terbabit aktiviti tidak bermoral, petik Harian Metro.
Pada awal minggu ini, dia dan isterinya menggemparkan dunia internet apabila membuat pengakuan terbuka dalam satu siri podcast.
Isteri Shuib mengaku telah membuat pembedahan hidung sebanyak enam kali. Manakala Shuib pula mengaku pernah terlibat dengan aktiviti perjudian.
Pendedahan Shuib itu ternyata mendapat reaksi negatif daripada warganet. Ramai mengecam dirinya kerana membuka aib sendiri, serta menunjukkan contoh yang tidak baik kepada penonton siri podcast berkenaan.
“Sebenarnya saya enggan membesarkan hal ini lagi walaupun menerima pelbagai komen positif dan negatif. Namun, kalau dilihat dari sudut hukum agama selepas membuat bacaan dan menonton di YouTube, memang tidak manis membuka aib sendiri walaupun bertujuan untuk memberi pengajaran kepada orang.
“Jadi, tindakan yang dilakukan itu adalah satu khilaf daripada pihak saya dan saya akan mengambil pengajaran serta lebih berhati- hati ketika bercerita mengenai perkara silam.
“Saya juga sedar kadang-kadang niat tidak menghalalkan cara. Jadi, saya ambil maklum sebab ada cara sebenarnya kalau nak bercerita mengenai benda yang tak baik untuk dijadikan pengajaran mengikut Islam,” katanya kepada Harian Metro.
Tambahnya lagi, dia berharap netizen dapat menonton video penuh itu kerana ia sarat dengan pengajaran buat orang ramai.
Menurutnya, pada awal video podcast itu sudah ada peringatan awal diletakkan agar penonton tidak terikut dengan aktiviti tidak bermoral tersebut.