Seorang Lelaki Warga Brunei hilang di SICC sejak Disember lalu

Seorang Lelaki Warga Brunei hilang di SICC sejak Disember lalu. Seorang lelaki warga Brunei dilaporkan hilang selepas menyertai acara Hobbycon di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, Disember lalu.

Mangsa yang dikenali sebagai Ak Muhammad Abdullah Pg Ali, 29, dijadualkan pulang ke negaranya 20 Disember lalu namun sehingga kini gagal dikesan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris, berkata hasil siasatan awal mendapati, mangsa masuk ke negara ini bersama tiga rakannya pada 13 Disember lalu.

Katanya, kali terakhir mangsa dilihat adalah pada 19 Disember di sebuah kedai di 1Borneo Hypermall untuk membeli kad permainan.

“Menurut laporan polis, mangsa dikatakan akan balik menggunakan Feri dari Menumbok-Labuan-Brunei.

“Bagaimanapun sehingga ke hari ini, mangsa masih gagal dikesan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kalsom berkata, ahli keluarga mangsa turut memaklumkan, Ak Muhammad Abdullah gagal dihubungi menerusi telefon bimbit dan pesanan aplikasi WhatsApp.

Sehubungan itu, Kalsom berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung mangsa diminta tampil membantu siasatan.

“Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Norul Azlan Mohamad Nawi di talian 010-9300777 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

BACA JUGA :

Ahli perniagaan hina Menteri kerana gagal mulakan prosiding

Disyaki kemuka tuntutan palsu, SPRM tahan pemilik syarikat percetakan

Muhyiddin nafi dakwaan seleweng RM92.5 bilion