Seorang Wanita rela tak berkahwin, jaga ibu terlantar serta adik OKU

Seorang Wanita rela tak berkahwin, jaga ibu terlantar serta adik OKU.

Wanita ini sanggup mengetepikan hasrat berumahtangga dan mempunyai cahaya mata semata-mata mahu memastikan ibu yang uzur serta adik perempuan yang menghidap cerebral palsy (CP) mendapat penjagaan rapi.

Hazana Abd Hamid, 45, berkata, dia tidak pernah lelah menguruskan ibunya, Kamariah Daud, 88, yang terlantar sejak 10 tahun lalu akibat kemalangan serta adiknya, Siti Zulaiha Abd Hamid, 30.

Katanya, kesihatan ibunya semakin merosot selepas diserang angin ahmar pada kiri badan sejak sebulan lalu selain kedua-dua matanya juga tidak lagi dapat melihat.

“Bagi meneruskan kehidupan, mek (panggilan untuk ibu) kini bergantung sepenuhnya kepada saya dan adik beradik lain kerana tidak mampu bergerak dan bercakap selain perlu disuapkan makan, minum dan dimandikan.

“Selagi mek masih bernafas adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menjaganya sehingga ke akhir hayat,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Beris Jambu, Panji.

Hazana berkata, dia menjaga Siti Zulaiha sejak tujuh tahun lalu selepas ibu tirinya meninggal dunia.

“Saya secara sukarela mengambil tanggungjawab menjaga Siti Zulaiha kerana tidak ada sesiapa yang boleh menjaganya.

“Siti Zulaiha disahkan menghidap CP ketika berusia lima bulan sehingga menyebabkan dia tidak boleh bercakap dan perlu diuruskan seperti seorang bayi termasuk makan, mandi serta membuang air kecil dan besar,” katanya yang dibantu kakak, Hamsah, 69.

Hazana berkata, bagi menguruskan keperluan dua insan yang disayanginya itu, rutin hariannya bermula seawal jam 6.30 pagi untuk menyiapkan keperluan mereka sebelum dia keluar bekerja sebagai pembantu kedai makan yang terletak berhampiran dengan rumah.

“Saya perlu mencari pekerjaan yang berdekatan dengan rumah dan hanya bekerja sehingga jam 12 tengah hari kerana perlu pulang ke rumah untuk menguruskan adik serta ibu.

“Pendapatan RM30 sehari hanya cukup untuk perbelanjaan harian kami sekeluarga, namun mujurlah adik memperoleh bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan dan pada masa sama, ibu juga mendapat bantuan dari Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) RM400 sebulan,” katanya.

Katanya, dalam sebulan dia perlu membelanjakan hampir RM1,000 untuk membeli lampin pakai buang ibu serta adiknya dan dalam masa sama, ibunya juga hanya bergantung kepada susu formula khas yang berharga RM95 setin dan mampu bertahan untuk tempoh tiga hari sahaja.

“Saya perlu memberi ibu minum susu empat kali sehari melalui saluran tiub yang dipasang di hidungnya.

“Bantuan bulanan yang diperoleh hanya cukup untuk membeli barang keperluan mereka, namun saya bersyukur kerana sekurang-kurangnya dapat meringankan beban ditanggung,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubunginya Hazana di talian 019-6997244.

BACA JUGA:

Operasi bersepadu selamatkan pengemis serta ‘Palauh’ di Bandaraya Kota Kinabalu akan diperluas lagi

COVID19: 189 kes baharu dicatatkan, tiada kematian

Staf KKM mengeluh penat, sektor kesihatan Malaysia berada di zon merah

COMMENTS

Wordpress (1)
  • […] Seorang Wanita rela tak berkahwin, jaga ibu terlantar serta adik OKU […]