Beberapa bulan yang lalu, saya berjaya meyakinkan sebuah syarikat antarabangsa yang berpejabat di Lembah Klang untuk mengadakan satu mesyuarat berkala di negeri Kelantan pada Mac 2024.
Syarikat tersebut biasanya mengadakan empat kali mesyuarat setiap tahun, iaitu untuk setiap suku tahun.
Selama beberapa tahun, mereka telah mengadakan mesyuarat ini di seluruh negara, dan terkadang di luar negara, melibatkan 300-400 orang ahli perniagaan dari seluruh negara.
Mereka memberitahu saya bahawa sebelum ini mereka pernah mencuba untuk mengadakannya di Kelantan, tetapi tidak dapat menemui dewan yang cukup besar dan sesuai dengan keperluan mereka.
Saya mengesyorkan beberapa hotel kepada mereka, mempengaruhi mereka, dan meyakinkan mereka untuk melihat lokasi-lokasi yang sesuai.
Akhirnya, wakil syarikat itu mengunjungi tempat-tempat tersebut.
Mereka berbincang dengan sebuah hotel, dan perbincangan tersebut berlangsung untuk jangka masa yang agak lama.
Semua aspek perlu dipertimbangkan, termasuk tarikh, waktu, saiz dewan, bilik penginapan, makanan, dan sebagainya, supaya dapat mencapai standard yang dikehendaki.
Tetapi, tiba-tiba malam tadi, saya dimaklumkan bahawa mesyuarat tersebut terpaksa dipindahkan ke Langkawi.
Walaupun mereka telah berusaha sebaik mungkin untuk mengadakannya di Kelantan, mereka tidak dapat menemui tempat yang sesuai dan memenuhi standard yang diinginkan.
Jika mesyuarat diadakan di Kelantan, ia akan melibatkan kira-kira 350 orang ahli perniagaan dari seluruh negara, bersama dengan krew dan petugas lain yang melibatkan syarikat tersebut (kontraktor, dll.), kira-kira 70-80 orang.
Ahli perniagaan yang hadir biasanya membawa ahli keluarga untuk melancong, terutamanya jika destinasi adalah Kelantan. Ini dianggarkan melibatkan sekurang-kurangnya 200 orang.
Mereka semua yang hadir membawa serta wang dari luar negeri ke Kelantan.
Selain daripada itu, kehadiran mereka, terutamanya para ahli perniagaan, dapat memberi impak positif dalam jangka panjang, membantu meningkatkan pemikiran rakyat setempat ke arah yang lebih baik.
Walau sungainya keruh, pantainya yang cantik, budayanya yang menarik, tanahnya yang subur, makanannya yang enak, serta kedudukannya bersempadan, menjadikan Kelantan mempunyai potensi yang unik untuk menarik pelawat.
Oleh itu, kehadiran ramai orang luar boleh memberikan peluang ekonomi dan menyumbang kepada perkembangan negeri tersebut.
Meskipun saya tidak menyalahkan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang, Dato Mohd Nassuruddin Haji Daud, saya berharap beliau dapat mempertimbangkan untuk membina sebuah Pusat Konvensyen yang dilengkapi dengan hotel dan kemudahan-kemudahan lain.
Ini mungkin tidak hanya meningkatkan taraf Kelantan secara antarabangsa tetapi juga memastikan bahawa negeri ini tidak terlepas peluang yang ada, sambil menonjolkan keunikan dan kelebihannya.
Baca Juga : 16 telefon dirembatnya, polis sedang buru suspek