Melihat banyaknya kandungan yang dihasilkan di media sosial pada hari ini, penyanyi Shiha Zikir merasa perlu memberi nasihat kepada peminatnya agar tidak mudah mempercayai setiap perkara yang disampaikan.
Menurut Shiha atau Nurshiha Mohd Zikir, 37 tahun, beberapa kandungan yang dihasilkan boleh memberikan impak kepada individu sehingga mungkin menyebabkan masalah tekanan mental.
“Beberapa orang yang saya kenali terkesan dengan kandungan di media sosial. Mereka merasa tidak berjaya ketika melihat kandungan yang mempamerkan kekayaan atau kebahagiaan. Kesannya boleh mengganggu kesihatan mental.
“Oleh itu, saya nasihatkan agar tidak mudah terlalu percaya atau terlalu kagum dengan setiap kandungan tersebut. Mereka yang menghasilkan kandungan seperti itu tidak salah, tetapi penonton perlu berhati-hati.
“Tidak semua kandungan yang dipaparkan itu adalah benar. Ada yang hanya rekaan semata-mata,” katanya kepada mStar.
Prihatin dan tidak mahu isu ini menjadi lebih serius, Shiha cuba menyampaikan satu mesej dalam lagu terbarunya yang berjudul “This & That.”
Dalam lagu ini, Shiha juga cuba mendidik orang ramai agar sentiasa berusaha untuk mencapai apa yang diinginkan tanpa mudah terpengaruh dengan media sosial.
“Mereka yang menonton video di media sosial mudah terkesan dan terkagum-kagum tanpa mengetahui bahawa banyak perkara di dunia maya ini hanyalah rekaan. Oleh itu, saya cuba menyampaikan satu mesej melalui lagu baharu ini.
“Saya tidak mahu orang ramai mudah terkesan dengan media sosial. Sebaliknya, kita harus berusaha sendiri untuk mencapai apa yang dihendaki,” ujarnya.
Shiha juga turut menyumbang dalam penulisan lirik bersama Iqie Hugh, John Jeeves, dan Arul. Lagu ini mendapat sentuhan Iqie Hugh dan John Jeeves.
Untuk sesuaikan dengan mesej yang ingin disampaikan, Shiha menjelaskan bahawa dia memilih genre pop agar lebih dekat dengan pengguna media sosial.
“Kalau lagu balada mungkin agak sukar untuk menyampaikan mesej seperti ini. Saya juga ingin lagu ini lebih diterima di media sosial supaya peminat dapat memahami mesej yang ingin disampaikan.
“Saya berharap lagu ini akan diterima ramai, dan peminat akan lebih memahami maksud sebenar apabila muzik video dilancarkan pada Februari nanti,” katanya.
Baca Juga : Buah terlebih masak, ini 3 cara peram buah yang betul