Simpang Pulai gempar dengan penemuan 33 tong bahan kimia yang berasid sangat tinggi, apa kata JAS. Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesahkan 33 tong yang dibuang secara haram di kawasan lapang di Kampung Kepayang, Simpang Pulai, Oktober lepas berisi bahan kimia bersifat asid yang sangat tinggi.
Pengarah JAS Perak, Rosli Zul berkata, perkara itu disahkan berdasarkan penilaian dan ujian makmal oleh Jabatan Kimia melalui sampel bahan yang dihantar bulan lalu.
Menurutnya, tindakan segera telah diambil JAS terhadap semua bahan berbahaya berkenaan dengan memindahkannya ke lokasi lebih selamat sebelum dilupuskan.
“Kerja melupuskan bahan itu perlu mendapat kebenaran mahkamah terlebih dahulu.
“Kita sedang cuba mengenal pasti pelaku yang bertanggungjawab dalam pembuangan itu, setakat ini belum ada petunjuk baharu,” katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.
Beliau berkata, tindakan mungkin akan diambil ke atas pemilik tanah kerana cuai hingga kawasan seliaannya menjadi tapak bahan buangan yang tidak sepatutnya.
“Bahan itu masih berada dalam kawasan premis pemilik tanah, ini kerana kita mahu letakkan tanggungjawab kepada pemilik tanah sekiranya tidak menemui pelakunya,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, tong berisi cecair bahan buangan terjadual itu telah dibuang di kawasan berkenaan dalam tempoh seminggu sebelum dikesan.
JAS telah mengambil keterangan seorang lelaki berusia 47 tahun selepas ditemukan bersama sebuah lori bermuatan 13 tong kosong di lokasi kejadian, namun dilepaskan dengan jaminan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
BACA JUGA:
Menjelang usul undi percaya Isnin, semua parti gabungan meterai perjanjian untuk sokong Anwar
Lagi PMX perlu memperbetul kesilapan pemimpin lepas, kali ini rundingan Singapura pula
Penganjur Sotong Ride, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan mahu ambil tindakan tegas