Siti Zailah dihentam kerana dedah gambar anak mangsa bunuh

Wanita Pakatan Harapan (PH) mendakwa Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Siti Zailah Mohd Yusoff bersikap cuai apabila memuat naik gambarnya bersama anak mangsa kepada kes pembunuhan baru-baru ini.

Dalam kenyataan media bersama hari ini, Wanita PH berkata anggota parlimen Rantau Panjang itu tidak bertanggungjawab apabila mendedahkan identiti remaja berkenaan dalam media sosialnya.

Kata mereka tindakan Siti Zailah itu bercanggah dengan peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001 yang digubal bagi melindungi kebajikan dan keselamatan golongan terbabit.

“Tindakan berkongsi gambar beliau menziarahi kanak-kanak tersebut – yang merupakan anak kepada mangsa pembunuhan baru-baru ini – tular di media sosial dan (digunakan) media arus perdana sehingga nama dan gambar kanak-kanak terbabit dilaporkan di muka depan Utusan Malaysia bertarikh 5 Ogos 2020,” kata kenyataan berkenaan.

Ia ditandatangani Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh; Ketua Wanita Amanah, Aiman Athirah; dan Ketua Wanita DAP, Chong Eng.

Semalam Siti Zailah menziarahi seorang remaja yang juga anak kepada mangsa bunuh yang menarik perhatian ramai baru-baru ini.

Lawatan itu dirakamkan dalam salah satu hantaran di Instagram Siti Zailah. Ia bagaimanapun dipadam kemudian.

Kunjungan tersebut juga mendapat liputan akhbar Utusan Malaysia dengan identiti remaja terbabit didedahkan.

Wanita PH berkata sebagai seorang pemimpin di sebuah kementerian yang menjadi pemegang taruh utama untuk isu kebajikan wanita dan kanak-kanak, Siti Zailah sepatutnya lebih peka dengan keperluan menjaga identiti remaja terbabit.

Siti Zailah juga, kata Wanita PH, sepatutnya boleh menunjukkan teladan yang baik kepada orang awam dan media.

Semua pihak – termasuk kerajaan Perikatan Nasional dan Utusan Malaysia – kata Wanita PH, perlu memahami serta menghormati undang-undang yang melindungi kanak-kanak di Malaysia.

“Tragedi dan keadaan traumatik kanak-kanak itu sepatutnya tidak disebarluaskan untuk tontonan umum, apatah lagi menjadi ruang oportunis meraih sokongan politik,” katanya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/537416