Staf KKM mengeluh penat, sektor kesihatan Malaysia berada di zon merah. BEKERJA lebih masa seperti diluahkan seorang doktor menerusi ciapan di Twitter umpama sudah menjadi open secret dalam kalangan rakyat Malaysia.
Isu keletihan, malah sektor kesihatan negara yang tenat bukanlah hal yang baru diperkatakan.
“Kami bertugas minimum 14 jam sehari dengan bayaran gaji minimum, malah kami tidak sempat untuk makan, solat pun ‘lari-lari’. Kadangkala terlepas waktu solat.
“Jangan sesekali marah doktor dan jururawat atau mana-mana petugas kesihatan. Kami sangat penat. Kalau nak marah, lepaskan kemarahan anda kepada KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia),” demikian ciap doktor berkenaan menggunakan akaun @FarraDiana.
Malah dalam hantaran sama, doktor berkenaan turut menyarankan agar lebih ramai tenaga kerja diambil bagi menyelesaikan masalah yang berlarutan sejak sekian lama.
Isu keletihan dan kelesuan dalam kalangan petugas kesihatan kembali menarik perhatian umum apabila insiden ‘mengamuk’ di sebuah hospital kerajaan di Serdang dilaporkan media, baru-baru ini.
KKM dalam respons segera membuat permohonan maaf secara terbuka susulan insiden tersebut – antara lain mengakui berlaku salah faham dan jumlah kehadiran pesakit yang ramai menyebabkan waktu menunggu agak panjang.
Selain memberi kesan mental kepada petugas barisan hadapan, bagi rakyat kebanyakan, mereka juga mahukan perkhidmatan efisien apabila mendapatkan rawatan di hospital kerajaan terutama ruang menunggu yang agak panjang.
Sebelum itu, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, KKM dalam proses merangka langkah bagi menyelesaikan isu berbangkit dalam sistem kesihatan negara, ke arah reformasi sistem melalui pendekatan secara bersasar.
Dalam pada itu, berdasarkan hasil tinjauan diterbitkan laman web berita kesihatan, CodeBlue baru-baru ini, 95 peratus daripada 1,652 kakitangan kesihatan melibatkan jururawat dan doktor kerajaan menyatakan sistem kesihatan awam negara kini berdepan krisis, dengan 73 peratus daripada mereka sedang mempertimbangkan untuk meletak jawatan.
Daripada dapatan itu, sebanyak 53 peratus responden yang sebahagiannya golongan profesional bersetuju dengan status ‘sangat marah’ terhadap situasi semasa sistem kesihatan awam.
Justeru, masalah berkaitan sistem kesihatan negara perlu diberikan perhatian sewajarnya dan ditangani dengan segera.
Janganlah setelah keadaan menjadi tidak terkawal barulah mahu bertindak.
BACA JUGA:
Van persiaran terbabas, 7 maut dalam kemalangan
H5N1: Risiko berjangkit kepada manusia kekal rendah namun perlu bersedia
Kes pembunuhan e-panggilan di Tawau, libatkan 6 orang polis terdakwa