Strong, formidable, convincing, kini bukan lagi bahan ejekan, tetapi tanda keunggulan PMX. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Tambun, mengetuai 222 anggota Dewan Rakyat mengangkat sumpah pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 yang mula bersidang sejak kemarin.
Upacara mengangkat sumpah itu diikuti kedua-dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) dan Datuk Seri Fadillah Yusof (GRS-Petra Jaya).
Ia kemudian diteruskan dengan barisan Jemaah Menteri, Timbalan Menteri, ahli Parlimen kerajaan, dan anggota Parlimen pembangkang.
Uniknya pada upacara itu, dua Menteri Besar dan seorang Ketua Menteri turut mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen iaitu Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak), Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin (PH-Port Dickson) dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow (PH-Batu Kawan).
Persidangan Dewan Rakyat kali ini menjadi tumpuan selepas genap sebulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan pada 19 November lalu, yang menyaksikan Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 dan penubuhan Kerajaan Perpaduan.
Sidang Dewan Rakyat itu diadakan bagi membentang dan meluluskan peruntukan khas atau bajet mini bagi tujuan membayar emolumen penjawat awam mulai Januari.
Selain itu, tumpuan sidang Parlimen juga terarah kepada pembentangan usul undi percaya bagi menentukan keabsahan pelantikan Anwar yang mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri pada 24 November.
Terdahulu, bekas Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul telah dipilih sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baharu selepas memperoleh undi sokongan tertinggi daripada Ahli-Ahli Dewan Rakyat.
Johari meraih 147 undian manakala Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad yang dicalonkan oleh Perikatan Nasional, hanya memperoleh 74 undi.
Johari tidak bertanding pada PRU-15 sebaliknya digantikan anaknya, Dr Mohammed Taufiq, 26, yang memenangi kerusi berkenaan sekali gus menyaksikan dua beranak itu kini bergandingan di Dewan Rakyat.
PRU-15 pada November lalu yang disifatkan paling sengit pernah dihadapi negara, berakhir dengan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.
Pada pilihan raya itu, Pakatan Harapan (PH) memperoleh 82 kerusi, Perikatan Nasional (BN) (73), Barisan Nasional (BN) (30), Gabungan Parti Sarawak (GPS) (22), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (enam) dan Warisan (tiga).
Kerajaan Perpaduan dibentuk hasil gabungan parti politik termasuk PH, BN, GRS, GPS, dan Warisan.
Dan akhirnya, kata-kata Anwar Ibrahim sebelum ini “strong, formidable, convincing”, telah terbukti keabsahannya.
147 ahli parlimen Kerajaan Perpaduan memberi undi percaya. Selebihnya tidak, sebanyak 74 daripada pembangkang. 1 lagi tiada undian kerana tidak sempat hadir.
Walaupun pada awalnya, Takiyuddin dan Shahidan mewakili pembangkang cuba mempersoal dan menafikan proses usul undi percaya ini, tetapi perbahasan tetap berlangsung di kalangan 12 ahli parlimen dan hasil undian pun terjawab selepas lebih 3 jam.
BACA JUGA:
Tidak sinonim dengan istilah prostat, biasanya lelaki muda terlambat ambil tahu bila sudah terkena
Akhirnya penyanyi dan pelakon terkenal tinggalkan Muafakat Nasional
Sudah lali dengan banjir, penduduk Sungai Lembing sedia pindah atau ambil risiko, namun tetap tenang