Sudah lali dengan banjir, penduduk Sungai Lembing sedia pindah atau ambil risiko, namun tetap tenang

Sudah lali dengan banjir, penduduk Sungai Lembing sedia pindah atau ambil risiko, namun tetap tenang. Penduduk di perkampungan Sungai Lembing sudah bersedia untuk berpindah pada bila-bila masa jika paras air Sungai Kuantan melimpah.

Rata-rata mereka ketika ini sedang menanti bunyi siren amaran daripada Stesen Siren kampung berkenaan yang menandakan peningkatan paras air dan mereka harus segera pindah.

Bagi pesara, Abdul Rahim Ali, 62, mengakui sudah bersedia untuk meninggalkan rumah bersama isteri dan anak-anak pada bila-bila masa jika berlaku banjir.

Menurutnya, beg kecemasan yang berisi sijil-sijil, dokumen penting, wang, pakaian sudah dibereskan sejak awal Disember lalu.

Jelasnya, persiapan itu dilakukan kerana pekan Sungai Lembing sudah biasa dinaiki air lebih-lebih lagi ketika musim tengkujuh.

“Di Sungai Lembing ini banjir sudah menjadi satu kemestian sama ada kecil atau besar banjir tetap akan berlaku di kampung ini.

“Jadi, kami semua sudah memahami situasi itu dan sentiasa dalam keadaan berwaspada. Bila dengar sahaja bunyi siren amaran, kami semua terus berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Ahad.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), menjangkakan berlaku empat hingga enam episod luruan monsun sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula November hingga Mac tahun hadapan.

Pada Sabtu, simulasi model ramalan banjir yang dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan beberapa daerah di Pahang akan berlaku banjir besar kira-kira jam 8 malam, Ahad.

Bapa kepada enam anak itu memberitahu walaupun berdepan dengan banjir setiap tahun, namun situasinya sentiasa berbeza-beza.

“Ada ketika hujan berlarutan sehingga dua jam menyebabkan air naik mendadak sehingga paras dada dalam beberapa saat sahaja.

“Ada kalanya, air naik hanya di paras paha dan mengambil masa beberapa jam untuk naik sehingga paras pinggang dan dada.

“Jadi, apa sahaja situasi banjir, kami penduduk mengambil pendekatan untuk berpindah ke lokasi lebih selamat dan patuh kepada arahan pihak berkuasa,” ujarnya yang menetap di kampung itu lebih 30 tahun.

Sementara itu, Safiah Mat Ali, 62, memaklumkan sudah terbiasa dengan banjir, namun tetap berwaspada dengan keadaan setiap kali hujan lebat pada musim tengkujuh ini.

Tambah Safiah, banjir juga pernah berlaku di perkampungan Sungai Lembing walaupun tiada hujan dan disebabkan itu mereka perlu berwaspada dengan semua kemungkinan.

“Kami semua sedang tunggu bunyi siren dan arahan pihak berkuasa, bila sudah kedengaran (bunyi siren) tindakan kami adalah bersiap untuk berpindah dengan membawa dokumen penting sahaja ke PPS yang sudah disediakan.

“Barangan elektrik dan peralatan rumah pula semua sudah ditempatkan di tempat selamat. Insya-ALLAH tidak berlaku kerugian seperti awal tahun lalu,” katanya.

Dia bagaimanapun berharap kali ini banjir tidak berlaku pada waktu malam kerana ia menyukarkan pergerakan mereka untuk berpindah.

Peniaga makanan, Abdullah Sani Ali, 47, pula mengakui belum membuat sebarang persiapan kerana berasakan kawasannya masih belum dinaik air.

Katanya, buat masa ini, banjir dijangka berlaku di kawasan Raub, Lipis dan Temerloh dan selepas itu baru di kawasan sekitar Kuantan khususnya Sungai Lembing.

“Saya berpandukan air Sungai Kuantan yang tidak menampakkan peningkatan paras air yang ketara pada ketika ini,” jelasnya.

Seorang lagi penduduk, Ibrahim Da Yu, 41, sudah menganggap banjir adalah sebahagian daripada kehidupan mereka sejak sekian lama.

“Kami sudah tahu apa yang perlu dilakukan terutama persiapan menyediakan bekalan makanan dan simpan dokumen penting di tempat selamat apabila banjir,” katanya.

Dia yang merupakan penjawat awam berkata, banjir di pekan ini memang menjadi tumpuan warga Kuantan.

“Apabila hujan di bandar, ramai yang bertanya situasi di sini, seperti sama ada hujan atau air sudah naik atau belum,” jelas bapa kepada dua anak itu.

BACA JUGA:

Jangan lupa syarat sokong belanjawan kerajaan lepas, Fahmi bidas kritikan Ermieyati

Ramai belum tahu kewujudan penting JHEV ATM di Malaysia, jom baca untuk tahu

Dr Zulkifli beri penjelasan, hukum suami tidak pergi solat Jumaat gara-gara isteri