Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak seharusnya mempermainkan agama dengan mengeluarkan ‘fatwa’ politik sebaliknya berkempen secara matang dalam pilihan raya kecil (PRK) di negeri ini tanpa mencetuskan kontroversi.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hassan menasihatkan bekas Perdana Menteri itu supaya bertaubat susulan kenyataan beliau mengeluarkan ‘fatwa’ bahawa mengundi calon Pakatan Harapan (PH) pada 9 September ini adalah haram.
Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, sebagai orang lama dalam politik, Muhyiddin sepatutnya menumpukan isu yang ingin dibawakan atau manifesto parti yang membawa kebaikan kepada rakyat.
“Suruh dia bertaubatlah, jangan yang halal kita haramkan, itu bukan hak kita. Kempen tu berkempen juga, berpolitik pun politik juga tapi bab soal akidah jangan buat main.
“Jangan nak kata tak masuk syurgalah, macam-macamlah dan sengaja mengeluarkan kenyataan yang mengundang kontroversi.
“Saya bagi nasihat kepada individu yang berpangkat ‘abang-abang’ saya itu supaya jadilah seorang yang ‘gentleman’. Kita beritahu apa yang nak kita lakukan, bukanlah keluarkan kenyataan seperti itu,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Permatang Kempas di sini pada Ahad.
Beliau mengulas satu video yang tular dalam media sosial pada Ahad menunjukkan Muhyiddin ketika berucap dalam satu ceramah sempena PRK Parlimen Pulai di Johor, mengeluarkan ‘fatwa haram’ mengundi calon PH, Suhaizan Kaiat.
Muhyiddin ketika berucap dalam kempen ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai di Nusa Bestari, Johor Bahru malam Sabtu melarang pengundi Parlimen Pulai untuk mengundi calon PH.
Baca Selanjutnya :