Apabila memasuki tahun baharu, adalah lazim bagi setiap individu untuk menetapkan azam demi mencapai matlamat peribadi, sama ada dalam aspek perhubungan, kerjaya, atau pencapaian diri.
Setiap orang pastinya berazam untuk menjadi lebih baik dalam hari-hari yang mendatang.
Bagi umat Islam, adalah penting untuk menetapkan azam yang seimbang antara kehidupan dunia dan akhirat.
Salah satu azam baru yang dapat dimasukkan dalam senarai ialah mengimarahkan masjid atau surau dengan mendirikan solat Subuh secara berjemaah.
Selebriti terkenal, Alif Satar, baru-baru ini memulakan inisiatif yang dikenali sebagai Gerakan Subuh Macam Jumaat, yang mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat.
Mengapa tidak turut menyertai golongan yang mengimarahkan solat Subuh berjemaah?
Walaupun tidak mudah untuk bangun awal pagi, terutama dengan rutin kerja yang menyebabkan keletihan pada sebelah siang, namun seperti pepatah mengatakan, alah bisa tegal biasa.
Berikut adalah 5 tips untuk membantu anda bangun awal pagi:
1. Tidur Awal pada Waktu Malam:
Usahakan untuk tidur lebih awal, sekurang-kurangnya sebelum pukul 10.30 malam. Tetapkan waktu tidur yang ideal dan jadikan ia sebagai rutin untuk memastikan kekonsistenan.
2. Menjaga Pemakanan:
Elakkan makanan berat sebelum tidur dan makan malam lebih awal. Pastikan pemakanan sihat dan tidak terlalu kenyang untuk mengurangkan rasa mengantuk.
3. Tidur Sebentar waktu Zohor:
Ambillah tidur sebentar sebelum atau selepas waktu Zohor, yang dikenali sebagai Qailulah. Ini dapat memberikan tenaga tambahan, terutama untuk mereka yang berniat untuk bangun malam hari untuk beribadah.
4. Pastikan Ruang Tidur Selesa:
Ruang tidur yang selesa dengan kebersihan yang dikekalkan adalah penting untuk mendapatkan tidur berkualiti.
Pastikan tempat tidur bebas dari sisa makanan, pakaian kotor, atau alat-elektronik yang boleh mengganggu keselesaan tidur.
5. Memasang Niat:
Niat adalah langkah awal untuk setiap tindakan. Niatkan dalam hati agar dipermudahkan untuk bangun awal demi tujuan beribadah.
Dengan mengamalkan tips ini, diharapkan dapat memudahkan proses bangun awal pagi dan meningkatkan kualiti tidur untuk mencapai azam mengimarahkan solat Subuh berjemaah.
Baca Juga : Inilah pesawat paling kurang penumpang, hanya dua orang saja