Suspek kes bunuh Siti Nur Surya didakwa di mahkamah hari ini

Suspek kes bunuh Siti Nur Surya didakwa di mahkamah hari ini

Seorang pelajar perempuan tingkatan 6 dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh rakannya Siti Nur Surya Ismail awal bulan ini.

Siti Nur Athirah Azmi, 19, yang berpakaian lokap berwarna ungu dan bertudung hitam, tidak menunjukkan emosi ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Dia dituduh melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Siti Nur Surya, 19, pada 1 November, antara 8.30 pagi dan 9.30 pagi di dalam rumah di Kampung Lubuk Batu, Jalan Bukit Tadok, Telemong, Hulu Terengganu.

Tuduhan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya Amer Abu Bakar Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam Mazlan Md Zain daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah menetapkan 10 Jan 2021 untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, gadis itu yang tiba di mahkamah pada 9.36 pagi, kelihatan tenang ketika dilambai dan disapa oleh ahli keluarganya yang menunggu di perkarangan mahkamah.

Berita penuh: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/11/16/suspek-bunuh-siti-nur-surya-didakwa-di-mahkamah/

COMMENTS