Syahiran gesa Kerajaan Kelantan bentangkan laporan agihan bantuan banjir secara terperinci.
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kelantan menggesa kerajaan negeri membentangkan laporan agihan bantuan banjir yang diterima secara terperinci.
Yang Dipertuanya, Mohd Syahiran Muhammad, berkata berdasarkan kenyataan sebelum ini, Kelantan secara keseluruhan menerima bantuan banjir sebanyak RM50.7 juta termasuk daripada Kerajaan Pusat, Selangor dan Kedah.
“Sehubungan itu kerajaan negeri perlu membentangkan mekanisme dan prosedur rapi bagi memudahkan masyarakat awam untuk membuat permohonan bantuan banjir.
“Pada masa sama, kerajaan negeri juga digesa melaporkan secara terperinci pelan jangka masa panjang bagi mengurangkan risiko banjir di negeri ini serta garis masa pelan itu, supaya rakyat mengetahui proses penambahbaikan yang dilakukan oleh kerajaan negeri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohd Syahiran turut mengharapkan kerajaan negeri dapat menunjukkan ketelusan dalam menguruskan bantuan banjir yang diberikan oleh pelbagai pihak seperti disuarakan demi manfaat rakyat Kelantan.
“ABIM Kelantan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang membantu rakyat Kelantan.
“Kami juga menitipkan ucapan jutaan terima kasih kepada rakan badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan yang turun ke lapangan membantu mangsa banjir seperti yang turut dilakukan oleh ABIM Kelantan sendiri.
“Dengan jumlah bantuan banjir yang diberikan kepada kerajaan Kelantan, sudah pastinya akan melegakan mangsa banjir agar mereka dapat merancang serta membina semula kehidupan mereka setelah bantuan pasca banjir selesai,” katanya.
BACA JUGA:
Parasit pemakan otak bukan lagi sekadar movie, kini di dunia nyata, ikuti nasihat KKM
Adik Norman, Lily dan Izz benar-benar bawa nama negara ke antarabangsa