DALAM setiap kediaman hari ini, penyaman udara menjadi satu kemestian.
Namun tanpa diketahui ramai, unit penyaman udara yang dipasang pada dinding sebenarnya mempunyai ‘pantang larang’ tersendiri.
Melalui satu hantaran di laman TikTok oleh pereka bentuk dalaman, Amin Yusoff, ada didedahkan lokasi yang tidak digalakkan untuk diletakkan penyaman udara atas sebab tertentu.
Ayuh kita ikuti kupasannya!
1) Penyaman udara di atas tingkap
Menurut Amin, kebanyakan pemaju dan juruteknik akan meletakkan penyaman udara di atas tingkap kerana tidak memerlukan kabel penyambungan yang panjang dengan unit pemampat (compressor) di luar.
Walaupun begitu, daripada sudut reka bentuk dalaman, kedudukan penyaman udara sebegini akan menyebabkan ruang bilik kelihatan sempit.
“Sebagai interior designer, saya haramkan untuk penyaman udara diletakkan di atas tingkap. Apabila keadaan macam ni, susah kami hendak naikkan langsir kepada ketinggian yang sepenuhnya.
“Akibatnya bilik anda tidak dapat direka bentuk untuk mencapai potensi maksimum. Nanti anda juga yang rugi. Letaklah di mana pun penyaman udara tu asalkan bukan di atas tingkap,” jelas Amin.
Antara isu melibatkan penyaman udara.
2) Penyaman udara di atas perabot atau peralatan elektronik
Dalam video sama, warga maya juga memberikan peringatan bahawa penyaman udara ada kalanya boleh mengeluarkan air kondensasi.
Sekiranya menitik dan terkena pada perabot serta peralatan elektronik, ia boleh menyebabkan kerosakan.
“Cuba elak letak penyaman udara di atas almari, kabinet dan televisyen. Kalau nanti air mula bocor susah jadinya.
“Disarankan untuk letak penyaman udara di kawasan lapang yang jauh daripada benda-benda seperti ini.
“Lebih baik keluarkan perbelanjaan tambahan untuk tarik kabel supaya boleh letak penyaman udara jauh sikit berbanding merana di kemudian hari,” ujar pelayar.
Baca : Lama diamkan diri, Datuk Red akhirnya jawab sebab cium Adira