Tarik sokongan terhadap Hajiji, Bung Moktar kini di blok pembangkang

Tarik sokongan terhadap Hajiji, Bung Moktar kini di blok pembangkang. Kedudukan sebahagian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) telah berubah ke blok pembangkang dalam sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada Selasa.

Perubahan kedudukan itu susulan kemelut politik yang melanda Sabah apabila Ketua UMNO Sabah yang juga Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menarik sokongan terhadap Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.

Bagaimanapun, kesemua kerusi di blok pembangkang termasuk ADUN dari Parti Warisan (Warisan) ketika ini kosong dan ADUN-ADUN tidak hadir atas alasan tertentu namun menyokong penuh Rang Undang-Undang (RUU) yang dibentangkan dalam sidang DUN Khas itu.

Lima ADUN BN yang menyokong kerajaan di bawah pimpinan Hajiji difahamkan kekal berada di blok kerajaan dan tiga ADUN berkenaan dilihat hadir pada sidang DUN Khas ini iaitu, ADUN Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya; ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusuf Yacob dan ADUN Sugut, Datuk James Ratib.

Sementara itu, Dr Yusof dalam sidang DUN itu menyatakan kekesalan beliau apabila ADUN di blok pembangkang tiada seorang pun yang hadir.

“Saya ucap tahniah dan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana menyarankan, ini adalah agenda penting untuk negeri Sabah dan mesti diluluskan dan inilah yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Sabah.

“Tapi saya kecewa di sebelah sana ‘sebiji’ (seorang) pun tidak ada, sepatutnya ini menjadi keutamaan, saya minta maaflah saya ini kawan juga saya bukan mahu mengungkit, tetapi sepatutnya kita bersama-sama memperjuangkan kerana ia kepentingan rakyat Sabah, saya tidak ada (kepentingan) ‘personal’ Datuk Speaker,” katanya.

Sebelum itu, Bung Moktar dalam kenyataannya awal pagi Selasa memaklumkan sebahagian besar ADUN BN-UMNO Sabah tidak dapat hadir pada persidangan itu kerana perlu berlepas ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO.

Namun beliau bersama ADUN-ADUN UMNO Sabah menyokong penuh RUU Bekalan Gas 2023 yang akan dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Penggal Ketiga DUN Sabah Yang Ke-16.

Sementara itu, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan bahawa beliau dan ADUN parti itu tidak hadir pada sidang DUN berkenaan namun menyokong penuh RUU terbabit.

Katanya, ketidakhadiran itu bagi memastikan Jawatankuasa Khas ditubuhkan segera untuk menentukan kepimpinan kerajaan Perpaduan seperti yang dibincangkan dengan Anwar dalam pertemuannya pada Isnin.

Kemelut politik Sabah bermula apabila Bung Moktar mengumumkan untuk menarik sokongan terhadap Hajiji dan menyebabkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu dengan pemimpin parti di Sabah serta mencadangkan kerajaan Perpaduan ditubuhkan bagi menyelesaikan kemelut berkenaan.

BACA JUGA :

Disyaki kemuka tuntutan palsu, SPRM tahan pemilik syarikat percetakan

Muhyiddin nafi dakwaan seleweng RM92.5 bilion

Thailand tidak akan ulangi kesilapan yang sama untuk menentang Harimau Malaya di separuh akhir kedua Piala AFF