Tegas Veteran UMNO, tiada keperluan dua jawatan parti dipertandingkan

Tegas Veteran UMNO, tiada keperluan dua jawatan parti dipertandingkan. Veteran UMNO menegaskan tiada keperluan bagi dua jawatan utama parti itu dipertandingkan pada pemilihan parti biarpun desakan seumpama itu semakin lantang diketengahkan beberapa pemimpin tertentu.

Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub, berkata ketetapan itu dibuat berdasarkan keutamaan UMNO untuk memiliki pemimpin yang mampu menerajui parti dalam landskap politik semasa, selain kekalahan parti ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Tanpa menolak amalan demokrasi, beliau bagaimanapun menjelaskan gabungan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyandang jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dilihat sesuai dan mampu bagi agenda berkenaan.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan desakan dua jawatan itu dipertandingkan susulan agenda segelintir pemimpin tertentu yang mahu UMNO diterajui individu tertentu, biarpun calon cuba diketengahkan belum terbukti ketokohannya.

“Dalam keadaan seperti ini, apa keperluan untuk jawatan presiden dan timbalan presiden dipertandingkan? Adakah memegang jawatan utama lebih penting berbanding menyokong pemimpin sedia ada merangka agenda membetulkan parti?

“UMNO perlu lihat bagaimana parti dipandang sepi ketika Ahmad Zahid tidak menganggotai Kabinet sebelum ini. Adakah keadaan sedemikian yang dimahukan ahli atau pemimpin tertentu dalam UMNO?” katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua UMNO Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang menyifatkan parti itu akan dianggap tidak demokratik jika tunduk kepada usaha pihak tertentu menghalang jawatan dalam parti dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Mohamed Nazri dilapor menyifatkan cadangan itu ‘lapuk’ dan tindakan sedemikian boleh menyekat amalan demokrasi yang lama subur dalam UMNO, sekali gus menunjukkan parti itu semakin hilang arah dan identiti perjuangan.

Bekas Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, cadangan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan, seolah-olah memperkecilkan keupayaan Ahmad Zahid dan Mohamad.

Isu membabitkan pemilihan parti UMNO timbul selepas EXCO Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, berkata, parti itu akan menempah episod hitam sekali lagi jika jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.

Mengenai desakan sama diketengahkan segelintir pemimpin Pemuda UMNO, Mustapha berkata, mereka seharusnya tampil lebih berani dengan menamakan individu yang dianggap sesuai dan lebih relevan menggantikan Ahmad Zahid dan Mohamad bagi menerajui parti itu.

“Segelintir pemimpin Pemuda UMNO jangan berselindung di sebalik agenda peribadi. Sila namakan siapa pemimpin yang layak dan boleh ditonjolkan bagi menggantikan Ahmad Zahid jika tidak suka beliau memegang jawatan Presiden UMNO.

“Jangan kerana berselindung sebalik agenda keperluan kepada pemimpin muda atau baharu untuk menerajui UMNO. Cuba jadi rasional dan jangan taksub kepada pemimpin tertentu. Apa untungnya tindakan sedemikian kepada parti?” soalnya.

BACA JUGA:

Penerima subsidi bersasar dikenalpasti melalui data komprehensif

Dekorasi ayat suci al-Quran ditemui di lokasi pembuangan sampah haram

Isu integriti membabitkan industri halal mengurangkan keyakinan terhadap jenama halal Malaysia

COMMENTS

Wordpress (2)
  • […] Tegas Veteran UMNO, tiada keperluan dua jawatan parti dipertandingkan […]

  • […] Tegas Veteran UMNO, tiada keperluan dua jawatan parti dipertandingkan […]