PENDUDUK Desa Katoan, Kecamatan Banyudono, Boyolali, Jawa Tengah dikejutkan dengan penemuan satu mayat rentung di kawasan perkuburan, pada Rabu.
Memetik laporan Kompas, mayat berkenaan ditemui oleh seorang penduduk kampung bernama Khusnul Qotimah pada pukul 6.30 pagi ketika dia mahu menghantar ibunya ke pasar.
Menurut jurucakap polis Boyolali, Arif Mudi Prihanto, mayat lelaki berkenaan dikenal pasti sebagai Usmanto Harjo Wiyono, berusia 60 tahun dan berasal dari Indramayu, Jawa Barat.
Ujarnya, berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai membunuh diri.
Ia berdasarkan penemuan kitab surah Yasin, selipar, pemetik api, botol air mineral 1.5 liter berisi petrol dan sepucuk surat wasiat di samping mayat mangsa.
Surat wasiat berkenaan antaranya bertulis: “Terima kasih semua keluarga di sini, saya banyak menyusahkan, maafkan dosa saya selama ini, salam sejahtera”.
Tambah Arif, berdasarkan maklumat, mangsa baru empat hari pulang ke rumah adiknya di Dukuh Drono.
Di rumah adiknya, mangsa mengalami muntah-muntah dan sempat diperiksa oleh pegawai kesihatan kampung serta diberi ubat.
“Menurut maklumat juga, mangsa mendiamkan diri dan tidak banyak bercakap mengenai masalahnya,” kata Arif dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambahnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui motif dan punca kejadian.
“Keluarga mangsa menerima kejadian itu dan mangsa dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran Drono, Ketaon, Banyudono,” jelasnya lagi.
Baca: Pengetua songlap duit sekolah, habis RM75K dalam tabung pelajar